MELAKA: Kira-kira 500 penduduk Kampung Bukit Piatu di sini masih menggunakan paluan gendang, kompang dan alunan serunai sebagai jam penggera untuk bangun bersahur di bulan Ramadan.
Paluan alat muzik tradisional yang dimainkan kumpulan Ketuk-ketuk Sahur itu dapat didengari seawal pukul 4 pagi berarak ke setiap lorong di perkampungan itu.
Antara irama yang dilantunkan termasuklah lagu malar segar Madu Tiga dan Ali Baba nyanyian Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, seorang warga emas, Normah Senin, 67, berkata, acara tersebut merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan oleh penduduk setiap kali bulan puasa.
“Selain kita tidak terlepas untuk bangun bersahur, kumpulan Ketuk-ketuk Sahur ini membawa makna kemeriahan sambutan Ramadan pada setiap tahun.
“Makcik membesar di kampung ini dan inilah kaedah digunakan oleh orang dahulu untuk mengejut penduduk bersahur, namun pada hari ini susah nak jumpa,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Norlila Kassim, 46, memberitahu, perarakan itu amat berkesan membantu anak-anak kecil bangun bersahur dengan lebih mudah.
“Semua budak-budak akan keluar rumah apabila kumpulan perarakan ini tiba di rumah mereka.
“Mereka teruja untuk melihat persembahan tradisional itu, malah ada juga yang menyertai kumpulan Ketuk-ketuk Sahur ini sejak di sekolah rendah lagi,” katanya.
Dalam pada itu, salah seorang pemain gendang Ketuk-ketuk Sahur, Nor Tamiz Jaafar, 25, berkata, acara tersebut sentiasa dialu-alukan oleh penduduk kampung.
“Meskipun bunyi paluan gendang dan alatan muzik ini kuat, tetapi tidak pernah kami dimarahi penduduk kampung kerana mengganggu mereka tidur, sebaliknya semua menyambut baik kehadiran kami,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Piatu, Ramli Awang berkata, kumpulan tersebut disertai kira-kira 30 penduduk yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia.
“Pada zaman dahulu kumpulan Ketuk-ketuk Sahur ini menggunakan barang-barang yang senang didapati di rumah seperti tin kosong dan baldi yang dijadikan gendang.
“Hari ini bezanya kita menggunakan peralatan muzik tradisional seperti gendang ibu, tamborin, kompang dan sebagainya, namun okjektifnya serta nilai sentimentalnya masih sama,” katanya. – UTUSAN