Orang awam jadi 'mata-mata' JPJ menjelang Aidilfitri

Orang awam jadi ‘mata-mata’ JPJ menjelang Aidilfitri

AEDY FADLY Ramli ketika memeriksa kenderaan pengguna jalan raya sewaktu menyertai Operasi Khas Bersepadu yang dijalankan bersama PDRM dan AADK di Plaza Tol Juru, Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Pengguna jalan raya yang pulang ke kampung sepanjang musim perayaan ini dinasihatkan lebih berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata, selain JPJ dan beberapa agensi penguatkuasaan lain, orang awam juga  dipelawa menjadi ‘mata-mata’ atau pengintip kepada agensi berkenaan.

Katanya, mereka yang mahu bekerjasama dengan JPJ boleh membuat aduan secara terus melalui portal e-aduan@JPJ atau [email protected] jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan.

“Mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat atau mengesan kesalahan jalan raya oleh pengguna lain diminta  mengadu dan merakamkan kesalahan tersebut sama ada melalui gambar atau video dan memuat naik ke dalam laman portal atau e-mel berkenaan..

“Tindakan akan diambil antara tempoh 48 hingga 72 jam selepas aduan itu diterima,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Operasi Khas Bersepadu yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan (AADK) di Plaza Tol Juru, dekat sini malam tadi.

Menurut Aedy Fadly, ketika ini, aplikasi e-aduan itu boleh dimuat turun melalui Google Play untuk pengguna telefon pintar jenis Android dan dijangka diperluas untuk pengguna sistem operasi iOS (iPhone) tidak lama lagi.

Dalam pada itu beliau memberitahu, secara keseluruhannya seramai 2,200 anggota penguat kuasa JPJ termasuk 220 di Pulau Pinang ditugaskan membuat pemantauan perjalanan balik kampung sempena Aidilfitri kelak.

Katanya, lima kesalahan utama yang menjadi fokus semasa pemantauan itu ialah memotong di garisan berkembar, membawa kenderaan di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit, melanggar lampu isyarat dan memotong barisan.

“Setakat ini, sebanyak 15 buah lokasi ‘hotspot’ telah dikenal pasti di seluruh negara manakala untuk Pulau Pinang, lokasi ‘hotspot’ pemantauan ialah di sekitar kawasan lebuh raya termasuk BKE (Butterworth-Kulim Expressway) dan berhampiran Jambatan Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN