PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Operasi Lancar (Op Lancar) di kawasan- kawasan tumpuan yang dijangka berlaku kesesakan lalu-lintas akibat pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali ke ibu negara selepas sambutan Aidilfitri nanti.
Operasi itu dijalankan menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sepanjang tempoh Operasi Selamat ke-18 (Op Selamat 18) sempena Aidilfitri dijalankan bermula 29 April hingga 8 Mei nanti.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, fokus utama Op Selamat kali ini bagi memastikan aliran trafik lancar melibatkan pengguna jalan raya.
Katanya, ini selain memastikan keselamatan harta benda dan kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah dan kemalangan semasa musim perayaan.
“Susulan itu, seluruh jentera PDRM di lapangan membabitkan anggota balai, Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta rondaan bit akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan kesesakan trafik di lebuh raya, jalan negeri serta jalan bandar.
“Pengguna jalan raya diminta peka dengan maklumat terkini mengenai aliran trafik di media sosial rasmi JSPT bagi membantu masyarakat merancang perjalanan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya untuk melaksanakan peranan sebagai pemandu berhemah dan mematuhi segala peraturan lalu-lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahguna lorong kecemasan atau meletak kenderaan sehingga menghalang laluan.
Ujarnya, PDRM juga mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan kesalahan trafik dengan berkongsi video atau gambar kepada pihak JSPT supaya tindakan lanjut dapat diambil.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin dilaporkan berkata, pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap tetap ‘diburu’ walaupun musim perayaan tidak lama lagi.
Beliau berkata, PDRM akan mengoptimumkan penggunaan alat In-Car radar di sepanjang laluan lebuh raya malah penggunaan alat iCOPS turut diperluaskan pada musim perayaan tidak lama lagi untuk mengesan pesalah trafik berkenaan.
“PDRM akan menahan mana-mana pengguna jalan raya yang dikesan memiliki waran tangkap lampau sepanjang Op Selamat 18 yang berlangsung dari 29 April hingga 8 Mei depan,” katanya. – UTUSAN