MELAKA: Sebanyak 100 persatuan berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di negeri ini berpeluang untuk menerima geran Malaysian Incentive Community Empowerment (MyIce) bernilai keseluruhan RM1 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam berkata, kira-kira 1,705 persatuan berdaftar sebelum Disember 2021 layak memohon geran RM10,000 yang mula dibuka sejak 1 Februari lalu.
Menurutnya, kesemua persatuan itu dipilih daripada empat kategori iaitu sosial sebanyak 841, keselamatan (empat), kebajikan (835) dan hak asasi (25).
Beliau berkata, setakat 14 April lalu, hanya 46 persatuan memohon geran tersebut di mana 21 permohonan telah diluluskan, tujuh ditolak dan 18 masih dalam pemerhatian kerana maklumat yang tidak lengkap.
“Saya minta kerjasama daripada persatuan yang layak di bawah empat kategori ini untuk segera memohon geran RM10,000 menerusi www.eroses.gov.my yang perlu diisi oleh setiausaha pertubuhan.
“Sekurang-kurangnya 61 kuota yang masih kosong dan boleh dimohon oleh mana-mana persatuan di negeri ini kerana sebelum ini, hanya 21 persatuan telah diluluskan. Permohonan masih dibuka sehingga Mei ini,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat ROS di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh di sini semalam.
Turut hadir Pengarah ROS Melaka, Nurhafidah Ali.
Shanmugam menambah, banyak persatuan beranggapan geran yang diperuntukkan itu khusus kepada persatuan penduduk, namun pada tahun ini ROS telah membuka peluang kepada empat kategori lain.
Sementara itu, Nurhafidah berkata, setiap persatuan yang hendak memohon geran MyICE perlu mengemukakan cadangan program yang bersesuaian dengan matlamat asal penubuhan.
Menurutnya, banyak permohonan ditolak sebelum ini kerana ia tidak selaras dengan matlamat asal persatuan diwujudkan.
“Seperti contoh sebuah pertubuhan pencegahan jenayah, tapi mahu anjur kejohanan pertandingan badminton yang mana ia sudah lari daripada matlamat asal pertubuhan tersebut,” katanya.-UTUSAN