Nasib tiga lagi penyelam Eropah belum diketahui

Nasib tiga lagi penyelam Eropah belum diketahui

ANGGOTA Maritim Malaysia melakukan pemantauan di kawasan permukaan laut perairan Mersing bagi mengesan tiga lagi mangsa yang hilang setelah hanyut berhampiran Pulau Tokong Sanggol, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Nasib tiga lagi penyelam amatur warga Eropah yang hilang ketika menjalani latihan untuk menaik taraf lesen selaman mereka kepada Advance Open Water belum diketahui setelah hari ketiga misi pencarian di perairan daerah ini, berakhir petang semalam.

Ketiga-tiga mereka iaitu Alexia Alexandria, 18; Adrian Peter, 46, dan anak lelakinya, Nathen Renze, 14, yang memegang lesen Open Water dipercayai dihanyutkan jauh daripada lokasi terakhir mereka menyelam berhampiran Pulau Tokong Sanggol, di sini.

Namun, pasukan penyelamat tetap optimis kesemua mangsa dapat ditemukan dalam keadaan selamat berdasarkan pengalaman mereka di lautan selain kelengkapan menyelam seperti buoyancy control device yang boleh berperanan seperti jaket keselamatan ketika berada di permukaan air.

Bagaimanapun, pasukan penyelamat tetap mengambil kira faktor dehidrasi dan hipotermia yang boleh menyerang ketiga-tiga mereka ekoran terlalu lama berada di dalam air sejak tengah hari, Rabu lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, meskipun sudah memasuki hari ketiga, pihaknya dan agensi penyelamatan lain tetap tidak putus harapan untuk menemukan mangsa dalam keadaan selamat.

Malah, kata beliau, pencarian juga dilakukan melibatkan sembilan pulau yang terdapat di Mersing seperti Pulau Besar, Pulau Lima, Pulau Mungging, Pulau Geruda, Pulau Peak, Pulau Tokong Yu, Pulau Tokong Chopak, Pulau Tokong Blalang dan Pulau Tokong Gantang.

“Keadaan cuaca agak baik pada hari ini (semalam) dengan ketinggian ombak sekitar 0.5 hingga satu meter yang diharapkan memberi peluang yang tinggi untuk menemukan baki tiga lagi mangsa terbabit.

“Kawasan pencarian bagi aset laut melibatkan kawasan seluas 335 batu nautika, manakala keluasan pencarian aset udara melibatkan 739 batu nautika dengan penyertaan pelbagai agensi,” katanya di sini, semalam.

Rabu lalu, empat penyelam warga Eropah dilaporkan hilang ketika melakukan latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol, namun salah seorang daripada mereka, Kristine Grodem, 35, yang juga jurulatih selaman ditemukan selamat oleh bot tunda setelah hanyut dibawa arus kuat.

Keempat-empat mereka sedang menyelam di dasar laut selama 45 minit, sebelum naik ke permukaan dan membuat selaman kedua selama 20 minit lagi.

Berdasarkan keterangan awal Kristine, mereka berinteraksi selepas timbul kali kedua dan cuba memanggil tekong bot tetapi tidak dapat didengari kerana telah dihanyutkan kira-kira 500 meter dari lokasi bot berada sebelum terpisah.

Sementara itu, Nurul Hizam berkata, kawasan pencarian turut diperluas ke arah Selatan perairan Johor sehingga ke Sedili selain kawasan luar Timur perairan itu.

“Aset udara turut melakukan penerbangan di kawasan pulau dan memantau sekiranya ada sebarang tanda kemungkinan mangsa hidup membuat tanda isyarat tertentu untuk diselamatkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN