Murid cedera dipukul bapa rakan sekelas - Utusan Malaysia

Murid cedera dipukul bapa rakan sekelas

Pendera dicadangkan bukan sahaja dijatuhi hukuman penjara tetapi juga hukuman sebat. - Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU: Berang mendapati anaknya ditampar rakan sekelas, seorang bapa bertindak memukul murid tahun tiga sebuah sekolah rendah di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 1 petang di luar pagar sekolah itu dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara mang­sa dengan anaknya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, kedua-dua murid terbabit dikatakan bermain bersama sebelum bergaduh, de­ngan mang­sa dikatakan menampar rakannya itu.

Katanya, kejadian itu kemudian dilaporkan kepada bapanya yang datang ke sekolah.

“Lelaki berkenaan bertindak mencekik dan mengangkat mangsa sebelum menghem­pasnya hingga menyebabkan kepala kanak-kanak itu me­ngalami luka kecil dipercayai terkena batu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Abdul Rahim berkata, pihak sekolah menghubungi bapa mangsa berhubung kejadian itu dan dia segera datang mengambil anaknya sebelum membuat laporan polis.

Katanya, mangsa turut dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN