PUTRAJAYA: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akur dengan keputusan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk tidak membenarkan tiga kategori kenderaan mobiliti mikro di atas jalan raya.
Yang Dipertuanya, Datuk Hamid Hussain berkata, serentak dengan arahan itu, pihaknya sudah mengarahkan dua pengusaha e-skuter di daerah ini khususnya di Cyberjaya menghentikan operasi kenderaan itu.
“Kita sudah meminta pengusaha e-skuter menghentikan perkhidmatan itu serta-merta sehingga ada satu kaedah atau garis panduan dikeluarkan untuk membenarkan mereka beroperasi semula.
“Jika e-skuter itu masih dikesan beroperasi, tindakan undang-undang termasuk saman dan kompaun dikeluarkan polis,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Bersama Media di sini, semalam.
MOT sebelum ini menetapkan tiga jenis kenderaan mobiliti dilarang penggunaannya di atas jalan raya berkuatkuasa serta-merta ialah Moped, Personal Mobiliti Devices (skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman ataupun kuasa manusia) dan Personal Mobiliti Aids (PMA) atau alat bantu mobiliti peribadi. – UTUSAN