KUALA TERENGGANU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi kesal dengan kegagalan Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) menunaikan janji berhubung isu kelewatan pembayaran pinjaman Dana Kecemasan PKS 2.0 kepada lebih 200 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku sedangkan sejak awal pihaknya sudah mengarahkan agar proses pinjaman berkenaan dipermudah termasuk dalam soal syarat bagi membantu kalangan usahawan yang terjejas bencana.
Sehubungan itu, beliau akan memanggil MIDF dan SME Corporation Malaysia (SME Corp.) sekali lagi esok bagi memberi penjelasan lanjut mengenai kelewatan tersebut.
“Mereka (MIDF) janji dengan saya dua minggu nak selesai tetapi gagal. Kalau janji dengan menteri pun tidak boleh tunai, apa lagi dengan rakyat.
“Sebelum ini saya sudah panggil kedua-dua agensi itu supaya jangan menyusahkan rakyat dengan syarat yang macam-macam, nama pun pinjaman kecemasan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini hari ini.
Akhir bulan lalu, Noh meluahkan rasa kecewa dengan kelewatan pemprosesan Dana Kecemasan PKS 2.0 sekali gus mengarahkan SME Corp. dan MIDF menyegerakan pembayaran itu selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu.
Noh turut menegaskan, syarat pinjaman dana itu perlu dipermudah tanpa mengikut syarat-syarat pinjaman biasa.
Sementara itu, katanya, seramai 962 usahawan informal dan mikro di negeri ini menerima bantuan BBKM sebanyak RM3,000 seorang melibatkan jumlah keseluruhan RM2.9 juta. – UTUSAN