KUALA TERENGGANU: Pemain lincah Terengganu FC, Mohd. Faiz Nasir dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini kerana mengalami masalah kesihatan.
Pengurus pasukan, Mohd. Fadhil Wahab berkata, pemain berusia 29 tahun itu dilaporkan mengadu tidak sihat dan mengalami muntah di kediamannya kira-kira pukul 3 pagi ini.
“Buat masa ini pihak hospital masih belum mengesahkan status kesihatannya kerana masih memerlukan pemeriksaan lanjut.
“Bagaimanapun, keadaan Messi Terengganu stabil dan sama-sama kita mendoakannya segera pulih untuk membantu skuad Sang Penyu dalam saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Fadhil berkata, sebelum kejadian Mohd. Faiz sempat menjalani latihan rutin bersama rakan sepasukan pada sebelah malam di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus.
Status kesihatan pemain bertubuh kecil itu tular di media sosial hari ini susulan hantaran dimuat naik ahli keluarganya yang memohon kesembuhan buat Mohd. Faiz sambil mendakwa pemain itu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Mohd. Faiz belum membuat penampilan bersama Terengganu FC musim ini setelah terlepas dua perlawanan pertama ketika bertemu PJ City FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT). – UTUSAN