PONTIAN: Malaysia akan mengkaji kesan jangka panjang dan pendek di atas tindakan Indonesia menyekat pengeksportan minyak sawit ke pasaran dunia kerana memberikan tumpuan kepada pasaran domestik.
Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, kesan jangka pendek tentunya menyebabkan negara pengimport mengalihkan pandangan ke negara ini.
Katanya, Indonesia merupakan negara pengeksport minyak sawit terbesar di dunia di mana pada tahun lalu, pengeluaran dan eksport minyak sawit Indonesia mewakili masing-masing 59 peratus dan 56 peratus daripada pengeluaran dan eksport minyak sawit dunia.
Menurut beliau, Malaysia selaku negara pengeluar dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia, menyifatkan langkah yang diambil oleh Indonesia itu bakal meningkatkan permintaan eksport ke atas minyak sawit Malaysia.
“Walau bagaimanapun, berikutan masalah pengeluaran minyak sawit yang dihadapi Malaysia pada ketika ini susulan isu kekurangan tenaga buruh, Malaysia tidak mampu menampung permintaan eksport yang tinggi yang ditinggalkan oleh Indonesia.
“Justeru, ketidakseimbangan permintaan dan penawaran dijangka menyebabkan harga minyak sawit dan minyak-minyak pesaing lain melonjak ke paras yang lebih tinggi,” katanya selepas menghadiri program penyampaian sumbangan kepada masjid-masjid dan surau di kawasan Parlimen Tanjung Piai, di sini.
Jeck Seng berkata, ketika ini pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) yang mampu dikeluarkan Malaysia setahun adalah sekitar 17 juta tan disebabkan faktor ketiadaan pekerja di sektor perladangan.
Menurut beliau, peningkatan permintaan eksport itu mampu memberi cabaran kepada industri hiliran sawit tempatan di Malaysia memandangkan persaingan untuk mendapatkan bekalan bahan mentah.
“Saya berharap kementerian dapat mengkaji dan meneliti kesan seterusnya daripada tindakan Indonesia yang membuat satu keputusan drastik sebagaimana diumumkan oleh Presidennya, Joko Widodo.
“Dari segi pengeluaran minyak sawit di Malaysia, perubahan dasar tersebut tidak akan menjejaskan pengeluaran minyak sawit di negara ini kerana tidak mengambil kira pengeluaran syarikat-syarikat Malaysia yang beroperasi di luar negara termasuk Indonesia,” katanya.
Jelas beliau, Malaysia masih bergantung kepada permintaan dan penawaran minyak sawit dunia dan keperluan bagi pasaran tempatan pula hanya satu juta tan setahun bagi pengeluaran minyak masak bersubsidi.
Sehubungan itu, sebagai negara pengeluar dan pengeksport utama minyak sawit dan produk-produk hiliran berasaskan sawit, kerajaan akan melindungi kelangsungan dan kebolehsaingan industri sawit tempatan di peringkat global termasuk industri hiliran. – UTUSAN