KUALA LUMPUR: Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) secara rasmi bersama Korea Selatan bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang pertahanan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, MoU itu membolehkan kerjasama antara dua negara berkenaan diterokai dari sudut memperkasa keselamatan siber dan aset pertahanan negara.
“Kita sudah meminta pakar-pakar dari Korea Selatan ke Malaysia dengan segera bagi melihat kekuatan pertahanan kita dari segi industri, kualiti dan kerja memandangkan industri pertahanan negara itu berdaya maju.
“Sudah tentu kita juga boleh melihat kemampuan aset. Saya tidak menafikan ada aset tertentu yang tentera kita mahu lihat dengan aset Korea Selatan, tetapi ia bergantung kepada situasi tertentu,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Pertahanan, di sini.
MoU itu ditandatangani secara maya selepas mesyuarat dua hala secara hibrid antara Hishammuddin dan Menteri Pertahanan Nasional Republik Korea, Suh Wook.
Pada masa sama, Hishammuddin menyifatkan MoU itu sebagai bersejarah kerana memperkukuh lagi hubungan antara kedua-dua negara yang terjalin sejak 1960.
“Saya telah berbincang dengan rakan sejawatan selama tiga tahun, hanya kini dapat menandatangani MoU ini. Jadi saya rasa gembira ia akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.
Ketika ditanya mengapa Malaysia memilih mengukuhkan kerjasama dengan Korea Selatan dalam bidang pertahanan, Hishammuddin menganggap persahabatan dengan negara Asia Timur itu adalah penting untuk memperkasa keupayaan pertahanan negara.
“Kita memerlukan kawan dalam dunia yang semakin sempit, sebagai sebuah negara kerdil seperti Malaysia ini kita tidak ada pilihan untuk memilih kawan dan musuh.
“Sebab itu penghormatan yang diberikan kepada negara hari ini, walaupun kita berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran, sedikit sebanyak menggambarkan kedudukan negara kita masih lagi disegani pada dunia.
“Sebab itu, saya percaya kebolehan dan kepakaran yang ada pada Korea Selatan dapat membantu dalam konteks pertahanan. Dari segi budaya, pelancongan dan ekonomi banyak yang kita telah lakukan dengan Korea Selatan tetapi dari konteks pertahanan, ada banyak lagi ruang untuk kerjasama,” katanya.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, aset pertahanan negara sentiasa menjadi keutamaan kementerian namun perolehan asset-aset baharu pada masa akan datang perlu dilakukan dengan telus.
“End user menentukan aset yang diperlukan sama ada tentera darat, laut atau udara dan mencari kemampuan membiayai aset dengan Kementerian Kewangan.
“Akhirnya kita dalam kementerian akan menentukan siapa yang dapat diharapkan kerana dengan kewangan yang terhad, kita mesti memastikan membuat keputusan tepat. Tidak ada ketirisan, tidak ada rasuah dan apa yang ada hari ini betul-betul diperlukan oleh pihak berkepentingan.
“Sebab itu, saya maklum kepada semua yang ingin bekerjasama dengan Malaysia, saya rasa inilah kaedah cara saya memimpin kementerian ini. Kalau Korea Selatan boleh membantu, dia kena pegang prinsip-prinsip dan nilai-nilai kepimpinan ini melihat ke hadapan,” katanya.
Selain itu, dalam kenyataan media hari ini, Hishammuddin turut memaklumkan bahawa MoU itu menjadi dokumen rujukan utama dalam interaksi, program dan aktiviti bersama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Angkatan Tentera Republik Korea Selatan.

HISHAMMUDDIN Tun Hussein menandatangani MoU bersama Suh Wook secara maya ketika mengadakan mesyuarat dua hala secara hibrid yang turut disertai Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Lee Chi-beom (dua dari kiri) di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur.
Pada masa sama, beliau dan Suh Wook juga bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Kerja antara Kementerian Pertahanan kedua-dua negara yang menerajui pelaksanaan MoU tersebut.
“Dengan Malaysia dan Korea Selatan telah mempunyai MoU bagi kerjasama pertahanan antara angkatan tentera, inisiatif seterusnya adalah kedua-dua negara juga sedang berusaha ke arah MoU berkaitan industri pertahanan yang mana ia turut berkait rapat dengan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang sedang dirangka Kementerian Pertahanan.
“Sebelum ini kita telah bekerjasama dengan banyak negara rakan tradisional seperti Itali, Perancis dan Amerika Syarikat. Hari ini membuktikan Malaysia sedang berusaha memperluas lagi kerjasama dengan lebih banyak negara seperti Republik Korea, Turki dan India,” katanya.
Tambah Hishammuddin, mesyuarat itu turut berbincang mengenai kerjasama pelbagai hala, khususnya berhubung Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM).
“Selaku Pengerusi Bersama bagi ADMM-Plus Expert Working Group on Cyber Security, kami turut menyentuh tentang ancaman keselamatan dalam domain keselamatan siber.
“Saya turut suarakan keyakinan bahawa dengan sokongan Republik Korea, inisiatif Kementerian Pertahanan mengenai Rangkaian Pertahanan Siber ASEAN (ASEAN Cyber Defence Network – ACDN) berupaya dilaksanakan secara lebih efektif,” katanya. – UTUSAN