SHAH ALAM: Lebih ramai Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) dihasrat untuk dilahirkan sama ada dalam kalangan penjawat awam mahupun swasta sebagai usaha untuk membanteras gejala rasuah sehingga ke lubang cacing.
Hasrat sedemikian dinyatakan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang menjadikan CeIO sebagai tulang belakang bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendukung aspirasi kerajaan dan rakyat ke arah negara bebas rasuah.
Menerusi kenyataan MACA, selaras dengan hasrat tersebut, dianjurkan program Seminar Kelestarian Integriti (SKI) melalui projek akhir peserta Program CeIO dengan matlamat untuk memberi pendedahan tentang jenayah rasuah terutamanya yang berlaku dalam kalangan penjawat awam.
“Program Seminar Kelestarian Integriti (SKI) merupakan projek akhir yang perlu dijalankan oleh peserta Program CeIO bagi melengkapkan keseluruhan program berlangsung sejak 7 Februari sehingga 29 Mac lalu di di Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PPSSAAS). Di antara objektif program SKI ini adalah sebagai salah satu program pengukuhan integriti yang memberi fokus kepada salah laku dan jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan terutamanya dalam kalangan penjawat awam,” katanya.
Tambah kenyataan itu, peserta program CeIO tersebut didedahkan dengan panduan dan langkah-langkah sebagai seorang CeIO dalam usaha mendepani dan mencegah masalah ketirisan dan seterusnya memupuk budaya integriti yang tinggi di jabatan dan agensi masing-masing.
“Semua CeIO menerima sijil penyertaan program yang berlangsung selama lebih kurang dua bulan tersebut. Mereka yang dilahirkan dari program ini diharapkan dapat memastikan pematuhan undang-undang, pengawalseliaan yang sistematik dan mengikut prosedur di organisasi masing-masing. Mereka juga diharap dapat membina dan menanamkan budaya rasuah ‘toleransi sifar’, menghalang atau memerangi penyalahgunaan kuasa dan penipuan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, CeIO juga diharap dapat menjadi pakar rujuk, memberi nasihat dan perundingan berkaitan isu tadbir urus, integriti dan rasuah di organisasi masing-masing. – UTUSAN










