PADANG BESAR: Penganggur yang ditahan Rabu lalu kerana dipercayai meliwat anak kandungnya berusia empat tahun dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pihaknya sedang menunggu laporan rasmi perubatan berkaitan kes berkenaan daripada Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
“Apabila terima laporan rasmi nanti, kami akan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya. Kemudian, kita akan tengok keputusan untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan, seorang bapa yang tergamak meliwat anak perempuannya berusia empat tahun ditahan polis di sebuah rumah di Arau.
Ekoran itu, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan reman enam hari berakhir hari ini.
Tindakan lelaki berkenaan terbongkar apabila kanak-kanak tersebut mengadu sakit di bahagian dubur kepada neneknya yang tinggal bersebelahan dengan rumah mereka sebelum membuat laporan polis. – UTUSAN