Live TikTok: ASP wanita masih bertugas seperti biasa  - Utusan Malaysia

 Live TikTok: ASP wanita masih bertugas seperti biasa 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siasatan secara adil akan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pegawai polis wanita yang dikecam selepas membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa melakukan serbuan, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pegawai berpangkat Asisten Superintenden (ASP) itu masih bertugas seperti biasa.

Kata beliau, pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) kini sedang jalankan siasatan berhubung perkara itu.

“Siasatan kita perlu adil. Kita perlu satu siasatan yang adil. Adakah keperluan untuk dia tularkan semasa operasi itu perlu?

“Mengikutkan maklumat operasi tak perlulah (bertindak demikian). JIPS akan menyiasat secara dalaman. Apa pun, semua peraturan yang ada sudah dikeluarkan, perlulah dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pelancaran Op Selamat 18/2022 sempena Aidilfitri bertemakan Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai ada dakwaan bahawa pegawai berkenaan pernah melakukan perbuatan sama ketika bertugas di Johor Bahru, kata Razarudin, perkara berkenaan masih dalam siasatan.

Terdahulu, tular seorang pegawai polis wanita berpangkat ASP dikecam selepas membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa melakukan serbuan.

Video berkenaan dirakam pegawai wanita terbabit dipercayai sewaktu menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah pusat hiburan bersama beberapa pegawai dan anggota lain

Dalam video berdurasi 1 minit 38 saat itu, pegawai polis wanita berpakaian jaket seragam operasi PDRM itu dilihat menerangkan sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan.

Dia juga sempat menyampaikan salam dan memperkenalkan beberapa anggota dan pegawai polis yang terbabit dalam serbuan itu.

Selain itu, pegawai polis wanita itu turut kelihatan teruja apabila siaran TikTok itu mendapat 1,900 tontonan secara langsung, sambil meminta sokongan untuk mencapai sasaran 100,000 pengikut di akaun media sosialnya itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN