LITB jana pendapatan RM50 juta

Gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi jana pendapatan RM50 juta

NASARUDDIN Abdul Muttalib (kanan) dan Manoharan Periasamy (tengah) diberi penerangan mengenai Pusat Penerangan Pelancongan yang dikendalikan oleh Tropical Charters Sdn. Bhd. di Langkawi, hari ini. - FOTO/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi (LITB) yang berakhir apabila sempadan negara dibuka sepenuhnya berjaya menjana pendapatan lebih RM50 juta daripada kemasukan pelancong asing ke sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan LITB dari 15 November tahun lalu hingga 31 Mac tahun ini, sebanyak 10,216 orang pelancong direkodkan memasuki pulau peranginan ini.

“Kita anggap ini adalah satu kejayaan di bawah LITB hasil kerjasama daripada jabatan-jabatan, agensi-agensi, dan semua pemain industri pelancongan di Langkawi serta sokongan daripada Tourism Malaysia.

“Apabila sempadan dibuka semula, LADA menjangkakan kedatangan pelancong tidak akan meningkat secara mendadak kerana bulan Ramadan, tetapi akan meningkat secara perlahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pembukaan Pusat Penerangan Pelancongan yang dikendalikan oleh Tropical Charters Sdn. Bhd. di Pelangi Beach Resort & Spa, Jalan Pantai Chenang, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Langkawi akan menjadi tumpuan pelancong asing apabila beberapa negara Timur Tengah akan mengalami musim panas pada Jun atau Julai nanti.

Tambahnya, pihaknya dengan kerjasama Tourism Malaysia juga dalam rundingan dengan beberapa syarikat penerbangan lain untuk kembali terbang secara terus ke Langkawi.

“Pada masa ini, terdapat penerbangan terus dari Singapura ke pulau peranginan ini melalui Scoot sebanyak tiga kali seminggu,” katanya.

Sementara itu dalam majlis sama, Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia/Afrika) Tourism Malaysia, Manoharan Periasamy berkata pihaknya dalam rundingan bersama syarikat penerbangan luar khususnya pasaran-pasaran sasaran seperti daripada India, China dan Timur Tengah untuk masuk ke Langkawi secara terus.

“Kita harapkan Qatar Airways, salah satu penerbangan yang mempunyai pasaran terbesar di Timur Tengah akan meneruskan kembali penerbangan terus ke Langkawi.

“Kerana penerbangan terus melalui Qatar Airways akan membawa lebih ramai pelancong-pelancong daripada pasaran jarak jauh, kerana mempunyai ketercapaian yang lebih banyak berbanding syarikat penerbangan tempatan,” ujarnya.

Mano berkata, antara pasaran jarak jauh tersebut adalah dari Amerika Syarikat (AS), Eropah serta Timur Tengah.

Pada 1 April lalu, Langkawi menerima ketibaan satu penerbangan terus yang membawa pelancong asing dari Singapura sempena pembukaan sempadan negara yang bermula pada hari sama.

Syarikat penerbangan tambang rendah Scoot, TR476 dari negara jiran itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) pada pukul 5.20 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN