PETALING JAYA: Forensik Bomba Kuala Lumpur masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca letupan di stor barang kes Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan tersebut dilaksanakan kerana terdapat kerja-kerja pelupusan barang kes melibatkan rampasan mercun pelbagai jenis sebelum kejadian.
Bagaimanapun, pihaknya percaya mungkin berlaku sedikit pergeseran tanah atau pasir menyebabkan haba terbentuk ketika jentolak menggelek barang kes tersebut.
“Apa pun, forensik bomba masih menyiasat punca sebenar letupan berlaku.
“Setakat ini, sebanyak tujuh laporan telah diterima melibatkan kerosakan harta benda namun tiada kecederaan baharu dilaporkan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Eng Lai, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam yang melaporkan mengenai kejadian itu pada pukul 6.42 petang dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada 7.04 petang.
Ujar beliau, seramai tiga pekerja am yang membantu pembersihan proses pelupusan cedera ringan dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur manakala lima pegawai polis yang bertugas di stor tersebut serta dua pekerja am lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebanyak 18 buah kereta dan dua buah lori terbakar.
“Kesemua barang kes tersebut berdaftar dan anggaran jumlah kerugian masih belum dapat ditafsirkan,” ujar beliau.
Tambahnya, proses pelupusan juga telah dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan selepas menerima perintah mahkamah iaitu melupus barang kes dengan menggelek menggunakan jentolak sebelum disiram dengan air dan ditanam.
Semalam, media melaporkan penduduk di sekitar Sentul gempar selepas berlaku letupan mercun di sebuah tapak pelupusan di sini.
Insiden berkenaan berlaku ketika proses pelupusan sebanyak 1,059 kotak dan 35 guni mercun pelbagai bernilai RM4.1 juta yang diseludup masuk ke dalam negara untuk pasaran pada Aidilfitri.- UTUSAN