Lelaki warga Myanmar maut dibunuh guna pisau, pemutar skru - Utusan Malaysia

Lelaki warga Myanmar maut dibunuh guna pisau, pemutar skru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis mengesahkan kematian seorang lelaki warga Myanmar akibat dibunuh dalam kejadian di sebuah kilang di Kampung Baru Sungai Buloh, pada 3 April lalu disebabkan salah faham ketika mabuk.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan seorang lelaki warga asing dalam keadaan berdarah dan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pasukan perubatan dari Hospital Sungai Buloh yang berada di lokasi kejadian mengesahkan mangsa berusia 28 tahun itu sudah meninggal dunia.

Bertindak atas maklumat itu, kata beliau, enam lelaki warga Myanmar berusia antara 28 hingga 62 tahun ditahan di tiga lokasi berasingan pada 3 hingga 5 April lalu.

“Turut dirampas satu pisau berukuran kira-kira 26 sentimeter dan satu pemutar skru berukuran 27 sentimeter,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Daerah (IPD) Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib dan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar.

Arjunaidi berkata, hasil soal siasat terhadap suspek mendapati dua daripada enam suspek mengaku membunuh mangsa menggunakan pisau dan pemutar skru.

Jelasnya, kejadian itu dipercayai berpunca ekoran rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang dikatakan menghina serta melemparkan kata-kata kesat ketika mereka sedang minum arak.

“Semakan dilakukan mendapati semua suspek terbabit yang juga pekerja kilang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Mereka kini direman sehingga 17 April ini untuk siasatan lanjut mengikut 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN