Lelaki warga Indonesia mengamuk bakar kereta polis - Utusan Malaysia

Lelaki warga Indonesia mengamuk bakar kereta polis

KEADAAN kereta polis yang terbakar hampir keseluruhannya dalam kejadian amukan pekerja balak warga Indonesia di Kampung Selengkong, Nenasi di Pekan, Pahang. - FOTO IHSAN IPD PEKAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Seorang lelaki warga Indonesia dipercayai mengamuk dan bertindak membakar kereta peronda polis jenis Proton Waja dalam kejadian di Kampung Selengkong, Nenasi di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, Balai Polis Nenasi di sini menerima panggilan telefon dari seorang lelaki memaklumkan tentang kejadian itu sekitar pukul 11 malam.

“Dia memaklumkan seorang lelaki Indonesia yang merupakan pekerja balak sedang mengamuk di kawasan rumah kongsi pekerjanya. Hasil maklumat tersebut, Ketua Balai Polis Nenasi, Sarjan Mejar Othman Mohamad bersama dua anggotanya telah ke tempat kejadian,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Zaidi berkata, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, pihak polis mendapati suspek berada seorang diri di kawasan rumah kongsi terbabit.

“Semasa pemeriksaan dan soal tanya dilakukan, suspek bertindak agresif dengan memukul dan mencederakan Othman dan seorang anggotanya. Kemudian suspek masuk ke rumah kongsi dan mengambil satu objek menyala seperti api dan membaling objek itu dalam kenderaan pasukan.

“Ketika itu salah seorang anggota Balai Polis Nenasi masih berada dalam kenderaan. Anggota itu kemudiannya keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Tambahnya, suspek yang berusia lingkungan 30-an dikenali sebagai Asri itu kemudiannya bertindak melarikan diri dalam kawasan hutan berhampiran dan sehingga kini belum dapat dikesan. 

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan dimaklumkan berkait dengan kes ini dan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pekan, telah ke tempat kejadian. Semasa pasukan sampai, kami mendapati kenderaan pasukan tersebut telah terbakar hampir keseluruhannya,” katanya.

Menurutnya, sekitar pukul 3 pagi, sepasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Nenasi sampai di tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran pada kenderaan pasukan.

“Othman bersama dua anggota dalam keadaan baik dan hanya cedera ringan akibat bergelut dengan suspek. Satu Operasi ‘Op Tutup dilakukan untuk mengesan suspek di sekitar tempat kejadian. Pihak K9 Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Cawangan D10 IPK Pahang telah dihubungi bagi membantu dalam operasi itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN