Lelaki ditahan edar dadah bernilai lebih RM110,000 - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan edar dadah bernilai lebih RM110,000

MOHD. Sabri Zainol menunjukkan jumlah rampasan dadah yang dilakukan pada malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIRI: Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai pengedar dadah dan merampas serbuk ekstasi bernilai lebih RM110,000 dalam serbuan ke atas sebuah bilik hotel bajet di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Sabri Zainol berkata, suspek berusia 44 tahun itu ditahan pada pukul 10.30 malam oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

“Hasil pemeriksaan ke atas bilik tersebut polis telah menemukan 99 paket jus minuman perasa buah epal dan 72 paket jus minuman perasa mangga disyaki campuran dadah jenis ekstasi.

“Berat kasar keseluruhan dadah 5,450 gram dan dianggarkan bernilai RM102,600,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas Mohd. Sabri, siasatan awal mendapati dadah tersebut disyaki untuk pasaran tempatan tertumpu kepada pusat hiburan.

Beliau berkata, suspek yang tidak bekerja itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek kini ditahan reman selama lima hari bermula hari ini untuk  siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN