Lelaki berpaut, diseret Myvi ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki berpaut, diseret Myvi ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang dilihat berpaut pada sebuah Perodua Myvi sebelum diseret dalam video yang tular dalam media sosial ditahan polis awal pagi ini.

Lelaki warga China ditahan untuk siasatan lanjut selepas mendakwa dirinya diancam orang awam semasa berada di lokasi kemalangan melibatkan empat kenderaan di Lebuhraya Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berhampiran sebuah sekolah Cina di Jalan Imbi, dekat sini.

Dalam video itu, lelaki tersebut dilihat cuba berpaut pada pedal pintu belakang sisi kiri Perodua Myvi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas kemalangan melibatkan pejalan kaki warga China apabila cuba masuk ke dalam Perodua Myvi yang sedang melalui kawasan kemalangan kerana khuatir keselamatan diri terancam oleh orang awam akibat kemalangan.

“Pejalan kaki itu dibawa anggota unit kereta peronda MPV ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bagi tujuan dokumentasi kerana mengadu diancam orang awam semasa di lokasi kemalangan terbabit.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 2.15 pagi tadi membabitkan dua kereta iaitu Proton Exora dan Toyota Vios, serta dua motosikal dan seorang pejalan kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Proton Exora yang berada di lorong tengah membrek secara mengejut untuk mengelak seorang lelaki yang tiba-tiba melintas jalan.

Ujar beliau, pada masa sama, datang Toyota Vios dari belakang namun sempat memberhentikan kenderaannya.

“Tiba–tiba sebuah motosikal dari belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar Toyota Vios dan terbabas sebelum melanggar Proton Exora.

“Kemudian datang sebuah lagi motosikal datang dari arah sama kemudian merempuh motosikal yang terbabit kemalangan lebih awal itu,” katanya.

Akibat kemalangan itu, Sarifudin verkata, penunggang motosikal jenis Yamaha mengalami luka pada muka, manakala penunggang motosikal sebuah lagi motosikal patah kaki kiri.

“Kedua-dua mangsa dirawat di Hospital HUKM Cheras manakala pemandu kenderaan tidak mengalami kecederaan.

“Kes kemalangan ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1978 kerana memandu tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN