IPOH: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai mendalangi tiga kes samun bersenjatakan parang di beberapa kedai serbaneka 24 jam di sekitar bandar raya ini, kelmarin.
Lelaki berusia 29 tahun itu yang baru dibebaskan dari penjara bulan lalu diberkas pada pukul 12.55 tengah malam di sebuah rumah di Bandar Baru Putra, Bercham di sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, tangkapan dilakukan susulan kejadian samun yang dilaporkan berlaku di beberapa kedai serbaneka di Ipoh sejak Khamis lalu.
Katanya, samun bersenjatakan parang itu membabitkan kerugian pelbagai jenis rokok dan wang tunai hasil jualan.
“Bertindak atas laporan, operasi khas diadakan dan memberkas seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertanggungjawab terhadap jenayah berkenaan.
“Tangkapan itu dilakukan dalam tempoh 30 jam selepas laporan pertama dibuat. Dalam tangkapan itu, beberapa barang kes dirampas termasuk motosikal yang digunakannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, suspek yang juga penganggur direman lima hari bermula semalam hingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 392/397 dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
“Dengan tertangkapnya suspek tersebut, kita percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes samun bersenjatakan parang yang dilaporkan di bandar raya ini,” katanya. – UTUSAN