LUMUT: Lebih 60,000 kenderaan sehari dijangka menggunakan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) untuk pulang berhari raya dalam tempoh cuti seminggu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Bhd, Lyondon Alfred Felix gembira kerana laluan tersebut kini sudah mula menjadi laluan alternatif kepada pengguna kenderaan untuk ke destinasi masing-masing.
“Maklumlah sudah dua tahun tidak boleh balik kampung, jadi kami sudah bersedia untuk menyambut kehadiran kenderaan yang agak banyak di WCE.
“Kami akan meningkatkan sumber khususnya kakitangan yang bertugas 24 jam sepanjang tempoh ini bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna WCE,” katanya selepas majlis pelancaran Operasi Selamat 18 Aidilfitri 2022 Daerah Manjung di Plaza Tol Sitiawan Utara WCE, dekat sini, hari ini.
Pelancaran program itu disempurnakan Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintenden Chong Boo Khim.
Menurut Lyondon, pengguna jalan raya akan menikmati diskaun 30 peratus bayaran tol pada 30 April serta 1, 7 dan 8 Mei ini di semua tiga laluan sedia ada iaitu Seksyen 8 (Hutan Melintang – Teluk Intan), Seksyen 9 (Lekir – Sitiawan) dan Seksyen 10 (Changkat Chermin – Beruas), sebagaimana pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakbb, baru-baru ini.
Beliau berharap WCE benar-benar menjadi laluan alternatif apabila tiga lagi seksyen dijangka siap tahun depan khususnya yang paling penting iaitu Seksyen 11 dari Beruas ke Changkat Jering.
Jelasnya, Seksyen 11 menjadi tumpuan utama kerana bersambung ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sekali gus menjadi alternatif kepada orang ramai terutama dari Lembah Klang menuju utara Semenanjung.
Mengenai lebuh raya tanpa tol sepanjang 30 kilometer yang dibina WCE dari Jambatan Sultan Yusuf di Teluk Intan ke Batu 12 Lekir, dekat sini yang semakin kerap berlaku kemalangan, Lyondon menjelaskan ia di luar kawalan pihaknya.
Beliau memaklumkan walaupun ia berada dalam jajaran WCE, penyelenggaraan dan pengendaliannya diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR). – UTUSAN