Ladang babi diserbu, sambung bekalan air haram - Utusan Malaysia

Ladang babi diserbu, sambung bekalan air haram

SEBUAH ladang ternakan babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat diserbu SPAN. - FOTO SPAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Sebuah ladang ternakan babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selepas didapati melakukan sambungan bekalan air tidak sah.

SPAN menerusi kenyataan memaklumkan, serbuan petang semalam itu dilakukan selepas mendapat aduan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).

Menurutnya, pihaknya mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan kepada pemilik ladang berkenaan dan tindakan pemotongan bekalan air dilakukan serta-merta.

“Tindakan pengalihan kedudukan meter juga telah dilaksanakan oleh Air Selangor bagi mengelak aktiviti penyambungan bekalan air yang menyalahi undang-undang ini berulang.

“Kami mendapati, ladang berkenaan mempunyai meter bekalan air yang sah, namun semakan lanjut berjaya mengesan satu sambungan sebelum meter menggunakan paip HDPE berukuran 32mm.

“Aliran air dari punca sambungan ini dipercayai untuk kegunaan ladang ternakan tersebut,” katanya.

Katanya, penyambungan berkenaan didapati menyalahi undang-undang kerana ia dilakukan tanpa melalui meter bekalan air yang sah.

Jelas SPAN, pihaknya akan meneruskan operasi penguatkuasaan bagi mengesan mana-mana premis yang didapati membuat sambungan bekalan air yang menyalahi undang-undang.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut peruntukan Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang mana jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN