KUALA LUMPUR: Seseorang yang kekurangan nilai etika dan kebertanggungjawaban tidak layak untuk berkhidmat di dalam lembaga korporat kerana moral asas tersebut merupakan kualiti yang sangat penting sebagai ahli lembaga pengarah.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kegagalan tadbir urus korporat dengan kekurangan integriti selalunya boleh dikesan di pihak ahli lembaga pengarah, yang gagal dalam tugas-tugas mereka untuk memantau dan mengawal selia.
Titah baginda, paling penting ialah mempunyai ahli lembaga yang berkesan untuk membimbing dan menyelia proses dalam membuat keputusan.
“Mereka perlu memberikan bimbingan dan kawalan secara menyeluruh sambil mengelakkan sebarang campur tangan yang tidak wajar dalam kalangan eksekutif yang berkenaan.
“Ini terbukti mencabar terutamanya kerana ramai ahli lembaga sendiri pernah memainkan peranan pengurusan yang aktif sebelum ini, tetapi, pembahagian kerja sedemikian adalah penting untuk tadbir urus korporat yang baik,” titah baginda.
Baginda bertitah dalam ucapan perasmian buku berjudul Tadbir Urus Korporat dan Etika oleh Nik Norzrul Thani, Izahar Izham dan Liya Saffura, di Pusat Timbangtara Antarabangsa Asia (AIAC), Bangunan Sulaiman, di sini pagi tadi.
Selain itu, titah Sultan Nazrin, peranan etika individu di dalam tadbir urus korporat adalah topik yang baginda minat kerana sangat selari dengan garis panduan Islam dan Al Quran.
Jelas baginda, amalan memberi dan tanggungjawab sosial adalah teras kepada pendekatan Islam terhadap kewangan dan kekayaan.
“Disebabkan itu, institusi kewangan Islam seringkali mempunyai garis panduan tadbir urus tambahan yang khusus seperti penubuhan Lembaga Penasihat Syariah untuk memastikan peraturan dan prinsip syariah dipatuhi.
“Selain unsur-unsur seperti larangan ke atas pelaburan tertentu, pematuhan syariah juga melibatkan komitmen yang berlebihan untuk bertindak secara beretika, selaras dengan prinsip moral asas Islam, dan dengan cara ini, lembaga penasihat menyediakan lapisan pengawasan tambahan berhubung etika korporat untuk sektor ini,” titah Sultan Nazrin. –UTUSAN