KOTA BHARU: Kuih tradisi Kelantan yang berasaskan telur kini semakin mahal mencecah RM1 sebiji, namun terus laris dan sentiasa dicari pelanggan di bazar-bazar Ramadan di negeri ini.
Antara kuih tradisi tetap ‘laku keras’ sejak hari pertama Ramadan biarpun harganya naik sekali ganda ialah akok, jala emas, tahi itik, beko, nekbat serta sekaya telur dan sekaya pulut.
Peniaga, Abdul Rahman Ab. Aziz, 33, memberitahu Utusan Malaysia, ketika ini harga telur gred AB yang digunakan untuk membuat kuih tradisi meningkat kepada RM13 sepapan, berbanding RM11.50 sebelum ini.
“Maka, saya terpaksa naikkan harga kuih dijual dan setakat ini, pelanggan tidak merungut. Mereka tetap membeli kuih-muih ini sebagai pencuci mulut selepas berbuka puasa.
“Mereka faham harga kuih naik disebabkan kenaikan kos bahan mentah yang memang mahal ketika ini,” katanya ketika ditemui di gerainya di bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.
Abdul Rahman berkata, bagi menjaga kualiti dan kepuasan pelanggan, dia tidak mengecilkan saiz kuih sebagaimana dilakukan segelintir peniaga sebagai langkah menyerap kos kenaikan bahan mentah.
“Berdasarkan pengalaman saya selama 15 tahun berniaga, kuih tradisi Kelantan ada peminat tersendiri. Ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun kuih saya tetap laris dijual secara online,” katanya.
Sementara itu, pelanggan, Nur Azizah Abdul Ghani, 34, bekata, dia tetap setia membeli kuih tradisi terutama akok, jala emas dan tahi itik walaupun harganya jmahal berbanding tahun lalu.
“Saya memang gemar kuih tradisi Kelantan, rasa tidak lengkap berbuka puasa kalau tiada manisan seperti akok, tahi titik dan jala emas.
“Ramadan kali ini memang ketara kenaikan harga kuih. Kalau dulu boleh beli sebiji kuih dengan harga 50 sen, sekarang sebiji kuih jadi RM1. Jadi terpulanglah kepada pelanggan bagaimana untuk berbelanja,” katanya.- UTUSAN










