GEORGETOWN: Seramai enam anggota polis berpangkat Koperal dan Lans Koperal ditahan susulan kejadian seorang tahanan lelaki meloloskan diri dari Lokap Berpusat Balai Polis Bayan Baru di sini, dalam kejadian tengah malam semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, enam anggota tersebut yang berusia 20-an hingga 30-an kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.
Jelas beliau, polis akan menjalankan secara terperinci berhubung kejadian itu mengikut prosedur yang ditetapkan dan tidak akan berkompromi dalam siasatan yang dijalankan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, lelaki yang dikenali sebagai Azizi Mohammad Hassan, 33, itu ditahan atas kesalahan membabitkan dadah pada 20 April lalu.
“Suspek disedari telah meloloskan diri dari lokap tersebut kira-kira 12 tengah malam dan dia sedang ditahan serta menunggu keputusan sama ada dikenakan tahanan menurut Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” katanya selepas melancarkan Op Selamat ke-18 Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bazar Ramadan Bayan Baru, di sini hari ini.
Tambahnya, susulan kejadian itu polis telah melancarkan operasi untuk mengesan suspek berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, polis sedang memburu 61 lagi tahanan Rohingya yang melarikan diri dengan dua tangkapan terbaharu dibuat di Pulau Pinang pada Isnin lalu.
Katanya, polis juga tidak menolak kemungkinan tahanan berkenaan telah melepasi sempadan Pulau Pinang dan berada di negeri jiran.
“Apa yang kami bimbangkan ialah kemungkinan tahanan Rohingya ini telah berasimilasi dengan penduduk tempatan.
“Sudah seminggu berlalu selepas mereka melarikan diri dan mereka mungkin telah mendapat bantuan dari segi makanan, sebab itu mereka dapat mengelak daripada ditangkap,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Shuhaily berkata, seorang lagi tahanan Rohingya yang dirempuh sebuah kereta ketika melintas Lebuhraya Utara Selatan Rabu lalu selepas melarikan diri dari depoh tahanan di Bandar Baharu, Kedah meninggal dunia pagi semalam.
Katanya, remaja perempuan berusia 14 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya pagi semalam.
“Seorang lagi mangsa yang merupakan lelaki berusia 21 tahun masih dirawat di hospital sama dan siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan.
“Pihak polis juga telah merekodkan keterangan daripada beberapa saksi bagi membantu siasatan berhubung nahas ini,” katanya. – UTUSAN