PUTRAJAYA: Malaysia semalam mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 3,471 kes berbanding kelmarin, 3,361 kes bagaimanapun terus diatasi 6,900 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan 98 kes berbanding jumlah kelmarin, 101 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan kekal merekodkan 63 kes bersamaan jumlah kelmarin.
“Sebanyak 27 kes daripada 3,471 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 3,444 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 27 kes kategori tiga, empat dan lima, lima kes (18.52 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 13 kes (48.15 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan sembilan kes (33.33 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 13 kes (48.15 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas dan14 kes (51.85 peratus) mempunyai komorbid,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, kes yang dilaporkan sebanyak enam kes berbanding semalam, 13 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 35,526 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), empat kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,520 kes. – UTUSAN