Kerajaan tiada kuasa kawal juadah dimasak - PM - Utusan Malaysia

Kerajaan tiada kuasa kawal juadah dimasak – PM

ISMAIL Sabri Yaakob bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim meluangkan masa melawat Bazar Ramadan Putrajaya Presint 3, di sini, hari ini. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaaan mengakui sukar untuk mengawal harga makanan atau juadah masak yang dijual di bazar Ramadan kerana ia bukan barangan kawalan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan pada dasarnya hanya mampu mengawal harga barangan kawalan sahaja termasuk ayam, telur dan minyak masak. 

Menurut beliau, kerajaan bagaimanapun menyerahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memantau harga makanan itu supaya rakyat tidak ditekan dengan harga yang melampau. 

“Agak sukar untuk kita kawal harga makanan bermasak, namun kalau harga ayam kita boleh kawal. 

“Saya difahamkan tiada garis panduan bagi kawalan harga makanan bermasak, namun saya minta peniaga supaya tidak meletakkan harga yang melampau,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Bazar Ramadan Putrajaya 2022 di Presint 3, di sini hari ini. 

Ismail yang ditemani Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim meluangkan masa hampir sejam meninjau bazar berkenaan selain membeli beberapa juadah berbuka. 

Mengenai tindakan segelintir pengunjung yang membawa anak-anak ke bazar Ramadan, Ismail berkata, beliau menasihatkan ibu bapa supaya berhati-hati dan elak melalui kawasan yang sesak. 

“Kesihatan kita adalah tanggungjawab kita dan kesihatan keluarga kita juga adalah tanggungjawab kita. 

“Saya lihat rata-rata pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dari segi pemakaian pelitup muka, namun dari segi penjarakan sosial agak rapat.

“Bagaimanapun, seperti saya sebutkan sebelum ini, penjarakkan sosial tidak lagi menjadi kesalahan mengikut Akta 342,” katanya. 

Katanya, walaupun kerajaan sudah memberi kebebasan dan kelonggaran dari segi SOP tetapi rakyat perlu bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri masing-masing. 

Ketika kunjungan itu, Ismail sempat membeli air tebu, air kelapa, kuih seri muka dan beberapa juadah lain di bazar berkenaan. 

Ismail juga sempat beramah mesra dengan pengunjung bazar malah, sempat melayan kehendak pengunjung untuk bergambar dan  berswafoto. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya