Kerajaan teruskan projek LCS  - Utusan Malaysia

Kerajaan teruskan projek LCS 

HISHAMMUDDIN Tun Hussein (tengah) pada majlis berbuka puasa bersama warga TLDM di Pangkalan TLDM Lumut semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kabinet bersetuju untuk meneruskan projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu dibuat Kabinet semalam setelah mengambil kira dua faktor utama.

Menurutnya, pertama, LCS sememangnya aset yang amat diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), seiring perancangan pemodenan TLDM serta untuk meningkatkan kesiapsiagaan pasukan armada negara serta menambah baik usaha memelihara kepentingan maritim negara.

“Kedua, terdapat 400 vendor yang terlibat dalam projek ini dengan implikasi kewangan lebih RM4 bilion merangkumi pelbagai perkara antaranya lebih 100 daripadanya adalah syarikat milik rakyat Malaysia, 90 peratus daripadanya berhubung kait dengan veteran. Berikutan itu, Kabinet akan menubuhkan sebuah jawatankuasa tadbir urus khas yang bakal dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan serta Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama warga TLDM di Pangkalan TLDM Lumut di sini semalam.

Menurutnya, jawatankuasa khas itu akan memantau tadbir urus projek berkenaan dalam tempoh enam bulan.

“Kita akan laporkan perkembangan dan kemajuan projek ini dalam masa enam bulan kepada Kabinet setiap bulan. Walaupun keputusan untuk meneruskan projek itu telah dibuat, itu tidak bermakna pihak yang terlibat salah laku penyalahgunaan kuasa dalam perjalanan projek itu sebelum ini tidak dikenakan tindakan. Mereka tetap akan disiasat dan akan dihadapkan ke muka pengadilan. Sekiranya ada penyalahgunaan kuasa, ketirisan dan sebagainya, itu akan disiasat oleh agensi-agensi yang berkenaan khususnya SPRM,” katanya.

Menurut Hishammuddin, jumlah kos projek keseluruhan sebanyak RM9 bilion dan RM6 bilion telah dibelanjakan, bermakna berbaki RM3 bilion.

“Saya nak tengok berapa banyak kapal yang boleh kita siapkan dengan jumlah baki ini. Kalau ada tambahan kos, itu kita akan laporkan secara terperinci dan telus, tak ada apa nak disembunyikan,” katanya.

Sebelum ini, projek LCS berdepan kelewatan berpunca daripada pihak pengeluaran produk tulen (OEM) memberhentikan kerja susulan masalah kewangan.

Hishammuddin sebelum ini berkata, proses perolehan itu mengalami kelewatan 39.52 peratus atau 43 bulan, menyebabkan pembayaran kepada OEM tidak dibuat mengikut jadual ditetapkan.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya