Trump umum gencatan senjata Iran-Israel sudah bermula - Utusan Malaysia

Trump umum gencatan senjata Iran-Israel sudah bermula

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali lagi mengumumkan bahawa gencatan senjata di antara Israel dan Iran kini berkuat kuasa.

Beliau turut menyeru kedua-dua pihak agar mematuhi perjanjian sepenuhnya bagi menamatkan konflik bersenjata yang telah meragut ratusan nyawa.

“Gencatan senjata kini berkuat kuasa. Jangan ingkarinya! Donald J. Trump, Presiden Amerika Syarikat,” tulis Trump dalam kenyataan di platform Truth Social.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Iran dan Israel atas keberanian dan kebijaksanaan mereka dalam mencapai persetujuan tersebut.

Gencatan senjata ini merupakan lanjutan kepada perjanjian terdahulu yang diumum pada 23 Jun, yang memperincikan fasa pelaksanaan selama 24 jam – bermula dengan Iran menghentikan operasi ketenteraan selama 12 jam, diikuti oleh Israel.

Sekiranya dipatuhi, perang 12 hari itu akan diumumkan tamat secara rasmi.

Namun begitu, pelaksanaan gencatan senjata ini terus dibayangi ketegangan. Beberapa jam sebelum pengumuman Trump, Iran melancarkan peluru berpandu ke atas Israel, termasuk serangan di Beersheba yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang.

Sementara itu, Israel masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengesahkan persetujuan mereka dalam gencatan senjata baharu ini.

Beberapa pegawai kanan Israel sebelum ini menyatakan bahawa mereka bersedia untuk meneruskan operasi ketenteraan sekiranya Iran tidak menghentikan serangan.

Trump dilaporkan telah menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, secara langsung untuk memeterai perjanjian ini, manakala pegawai kanan White House berunding dengan wakil Iran melalui saluran diplomatik tidak rasmi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN