MELAKA 26 April: Kerajaan negeri akan membina sebanyak 200 unit kediaman menerusi Program Rumah Prihatin kepada golongan yang memerlukan mulai tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia berikutan permintaan yang tinggi dalam kalangan penduduk miskin di negeri ini yang memerlukan kediaman lebih selesa menerusi program tersebut.
Sehubungan itu menurutnya, beliau akan meminta kerajaan Pusat untuk menaikkan kos rumah berkenaan antara RM40,000 hingga RM50,000 dan bukan lagi antara RM30,000 hingga RM37,000.
Menurutnya, kenaikan barangan binaan seperti batu-bata, simen dan besi menyebabkan harga rumah berkenaan bagi dua bilik dengan kos RM30,000 tidak lagi relevan pada masa kini.
“Sebanyak 193 unit rumah dibina dengan kos RM6 juta itu hanya 47 unit rumah berjaya disiapkan untuk diduduki oleh penerima sebelum Aidilfitri manakala baki 46 unit lagi disasarkan untuk siap menjelang Jun nanti.
“Kita telah menyerahkan kunci rumah kepada Pegawai Daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin untuk diserahkan kepada penerima dalam minggu ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan kunci Rumah Prihatin kepada pasangan suami isteri, Mohammad Ninggal dan Rohani Jalil di Kampung Seri Duyong, di sini baru-baru ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir. Ismail Abd. Rahman.
Rahmad berkata, rumah berkenaan yang dibina untuk membantu golongan kurang berkemampuan di negeri ini mula dibina oleh JKR pada tahun lalu namun lewat dapat disiapkan disebabkan penularan pandemik Covid-19 dan kenaikan harga barangan.
Sementara itu, beliau berkata, sebuah Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Taman Desa Molek dekat sini diarahkan dikosongkan berikutan keretakan pada lantai dan dinding bangunan tersebut.
Menurutnya, hasil pemeriksaan oleh jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) bangunan tersebut tidak selamat untuk 300 pelajar belajar di bangunan itu.
“Buat sementara waktu, kesemua murid-murid sekolah itu telah dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek dekat sini,” ujarnya.
Beliau berkata, kerja-kerja membaikpulih sekolah tersebut memakan masa selama enam bulan. – UTUSAN