KOTA BHARU: Setelah sekian lama menyepi, bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa dijangka kembali lantang menegur kerajaan negeri ini menerusi pembentukan sekretariat Save Kelantan.
Kata Husam, Save Kelantan adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dipengerusikan beliau sendiri untuk membuat teguran berkait dengan apa sahaja polisi kerajaan negeri menerusi mekanisme semak dan imbang.
Katanya, inisiatif itu diambil selepas tiada lagi badan atau pihak yang berani membuat teguran secara telus kepada Kerajaan Negeri Kelantan hari ini.
“Kami mempunyai 18 biro yang menjadi tunjang dalam menggerakkan pertubuhan ini. Untuk maklumat, Save Kelantan bukan bersifat parti politik.
“Kami sebaliknya sebuah NGO yang melangkaui fahaman politik dan lebih memfokuskan kepada cadangan untuk menyelesaikan isu rakyat,” katanya dalam Sesi Dialog Bersama Pengamal Media Kelantan, di sini semalam.
Husam dalam pada itu memberitahu, antara isu rakyat yang kritikal dan memerlukan penyelesaian segera ialah bekalan air bersih, menaik taraf infrastruktur terutama jalan perhubungan dan pembalakan.
“Bagi saya tiada masalah untuk objektif menjaga kepentingan masyarakat ini dicapai asalkan semua pihak dapat bekerjasama tanpa mengira fahaman parti politik masing-masing,” katanya. – UTUSAN