JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri komited menyelesaikan pelbagai permasalahan dihadapi rakyat khususnya melibatkan infrastruktur asas dengan kaedah yang lebih tersusun.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bagi tujuan tersebut Johor akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kewangan dengan menubuhkan satu gerak kerja baharu.
“Antara aspek yang akan diberi tumpuan termasuk jalan raya, lebuh raya, perumahan mampu milik, kemudahan air, masalah banjir, persekolahan, hospital awam dan sebagainya. Gerak kerja ini akan lebih tersusun dan bersasar insya-Allah,” katanya dalam kenyataan ringkas di laman Facebook rasmi miliknya, hari ini.
Beliau membuat kenyataan tersebut selepas mengadakan kunjungan terhadap Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd. Shahar Abdullah.
Tambah Onn Hafiz, pihaknya berharap Kerajaan Pusat akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu-isu rakyat yang masih berbangkit ketika ini.
“Sama-samalah kita doakan agar segala usaha untuk membawa kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Malaysia dan bangsa Johor khususnya dapat dilaksanakan,” jelasnya. – UTUSAN