Keputusan DNA tengkorak, cebisan tulang dalam tempoh seminggu

Keputusan DNA tengkorak, cebisan tulang dalam tempoh seminggu

NANDA MAAROF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tengkorak, geraham dan cebisan tulang yang ditemukan di Taman Bukit Zamrud di sini, Khamis lalu diperoleh dalam tempoh seminggu lagi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ujian DNA itu akan menentukan sama ada tulang-tulang tersebut sah milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dilaporkan hilang atau sebaliknya.

“Kita tunggu laporan daripada pihak forensik dan patalogi dahulu. Satu minggu lagi mungkin dapat keputusan DNA,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penemuan tengkorak, geraham dan cebisan tulang dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan disyaki mangsa bunuh di kawasan tangki air di Taman Bukit Zamrud di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, semalam tular dalam media sosial Facebook apabila seorang individu mengaku bapa kepada kanak-kanak perempuan tersebut dan mengesahkan rangka yang ditemukan adalah anaknya yang dikenali dengan nama ‘Hanan’.

Perkara tersebut turut dikongsikan netizen dengan ada yang bersimpati selain ada seolah-oah membuat ‘penyiasatan’ sendiri.

Bagaimanapun, Nanda enggan mengulas hantaran yang tular itu dan memaklumkan polis melakukan siasatan lanjut.

Khamis lalu, media melaporkan penemuan tengkorak, geraham, dan cebisan tulang tersebut diperoleh hasil siasatan lanjut ke atas suspek utama kes penemuan mayat tanpa identiti dalam gaung di Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah pada 20 Mac lalu.

Suspek lelaki berusia 41 tahun dan seorang wanita dibawa ke kawasan belukar dekat tangki air dan menunjukkan lokasi mayat kanak-kanak itu ditanam.

Tulang ber­kenaan dijumpai kira-kira 10 meter dari lokasi asal mangsa dikatakan ditanam dalam keadaan ber­taburan ditutupi dengan daun-daun kering dan pokok kecil.

Ditanya mengenai kaitan kes ini dengan penemuan mayat wanita tanpa identiti dalam gaung di Jalan Lama Bukit Putus itu, Nanda berkata, suspek bagi kedua-dua kejadian dipercayai individu yang sama.

Namun, wanita yang ditemukan di Jalan Lama Bukit Putus dan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu tidak mempunyai sebarang kaitan kekeluargaan.

Pada 23 Mac lalu, dua lelaki berusia 41 dan 44 tahun dan seorang wanita berusia 18 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita terbabit. 

Tempoh reman ketiga-tiga mereka yang mempunyai talian persaudaraan kemudian dilanjutkan sehingga 11 April ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN