Keluarga penunggang basikal lajak anggap keputusan mahkamah adil - Utusan Malaysia

Keluarga penunggang basikal lajak anggap keputusan mahkamah adil

SABARIAH YUSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli keluarga kepada  lapan penunggang basikal lajak yang maut dalam kemalangan lima tahun lalu bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman enam tahun penjara kepada pemandu wanita terbabit.

Sabariah Yusuf, 54, ketika dihubungi berkata, dia menerima dengan lapang dada keputusan mahkamah berkenaan yang disifatkan  adil dan saksama.

“Penantian lima tahun akhirnya berbaloi apabila pemandu kenderaan yang terlibat dalam kejadian ini menerima hukuman yang setimpal.

“Saya berharap kejadian itu menjadi pengajaran kepada semua pihak khususnya pemandu kenderaan agar lebih berhati-hati ketika memandu,” katanya yang merupakan ibu kepada Allahyarham Mohamad Azhar Amir.

Selain Mohamad Azhar, kejadian itu turut mengorbankan tujuh yang lain iaitu Mohamad Azrie Danish Zulkefli; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie; Muhammad Firdauz Danish Mohd. Azhar; Fauzan Halmijan; Muhammad Harith Iskandar Abdullah; Muhammad Shahrul Nizam Marudin dan Haizad Kasrin.

Menurut Sabariah, anaknya yang merupakan anak kelapan daripada 10 adik beradik seorang anak yang baik dan peramah.

Sementara itu, ditanya berhubung komen berkenaan aktiviti penunggang basikal lajak, Sabariah memberitahu, dia tidak mahu membaca komen negatif mengenai perkara itu.

“Saya maklum ada segelintir pihak yang menyalahkan ahli keluarga kepada mangsa-mangsa terbabit, namun sejujurnya saya menyerahkan perkara itu kepada pihak mahkamah.

“Biarlah mahkamah yang menentukan pihak mana yang bersalah dalam kejadian ini, mereka lebih arif dalam soal perundangan berbanding kita,” ujarnya.

Sabariah turut memberitahu, anak-anaknya yang lain tidak membenarkan dirinya membaca  komen berhubung perkara itu khususnya di media sosial.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda sebanyak RM6,000 kepada Sam Ke Ting, 27, kerana melanggar  lapan penunggang basikal lajak sampai maut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.