Kelantan agih 1,800 al-Quran kepada hotel seluruh negeri

Kelantan agih 1,800 al-Quran kepada hotel seluruh negeri

MD. Anizam Abd. Rahman menyerahkan sumbangan al-Quran kepada wakil hotel sambil diperhatikan Abdul Rahman Ibrahim Al-Robian (kiri). - FOTO/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama pejabat Kedutaan Arab Saudi hari ini mengagihkan sebanyak 1,800 naskah al-Quran kepada 10 hotel utama yang terdapat di negeri ini.

Inisiatif itu bertujuan mengimarahkan Ramadan dengan cara menggalakkan penginap hotel sama ada pelancong domestik atau luar negara meluangkan masa membaca al-Quran ketika bercuti di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md. Anizam Abdul Rahman berkata, sebanyak 1,500 naskah al-Quran disumbangkan pihak Kedutaan Arab Saudi.

Baki 300 naskah lagi kata beliau, merupakan sumbangan Kerajaan Negeri Kelantan.

“Apa yang istimewanya al-Quran ini mempunyai terjemahan bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin supaya pembaca dari pelbagai latar belakang dapat memahami kandungan dalam kitab suci itu.

“Kita berharap usaha ini dapat diteruskan pengusaha pelancongan lain juga,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan naskah al-Quran di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Hadir sama, wakil Duta Arab Saudi ke Malaysia, Abdul Rahman Ibrahim Al-Robian. 

Mengulas lanjut, Md. Anizam berkata, jumlah agihan naskah kitab suci yang sebenar akan dibuat kepada semua hotel terbabit berdasarkan bilangan bilik masing-masing.

“Di seluruh Kelantan kita anggarkan lebih kurang 5,000 bilik. Jadi jumlah yang ada sekarang belum mencukupi untuk memastikan semua bilik ada sekurang-kurangnya satu naskah al-Quran. 

“Kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan kita untuk menyumbangkan naskah kitan suci ini dan inisiatif sama akan diperluaskan kepada pengusaha inap desa dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN