Kami tidak mahu ditekan lagi - Perkobf - Utusan Malaysia

Kami tidak mahu ditekan lagi – Perkobf

Presiden Perkobf, Tukiman Radion
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akibat tidak tahan dengan tekanan dan kerenah birokrasi yang didakwa diamalkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), 10,000 ahli Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia) merancang mengadakan perhimpunan aman.

Presiden Perkobf, Tukiman Radion berkata, perhimpunan yang akan dilakukan selepas Hari Raya Aidilfitiri itu nanti turut bertujuan menuntut supaya kontraktor-kontraktor kecil diletakkan kembali di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Menurut beliau, di bawah kementerian itu sebelum ini, semua urusan sebagai kontraktor kecil berjalan dengan lancar dan mudah manakala kementerian itu pula lebih mesra dan tidak membebankan golongan tersebut.

“Keadaan untuk pembaharuan lesen di CIDB bertambah susah, mereka hanya mencari kaedah-kaedah yang ingin dikuatkuasakan hingga kontraktor perlu melakukan pelbagai tuntutan mereka.

“Semasa di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kita sudah tahu bagaimana mereka mengendalikan urusan yang kita rasa mudah dan tidak memeningkan kepala. Berbanding dengan CIDB, pelbagai perkara di penguatkuasaan. Malah, ada ura-ura mengatakan mereka akan menambah sesuatu jadi ini mengkhuatirkan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Lesen

Sebelum ini, Tukiman pernah mengeluarkan dakwaan bahawa CIDB menyukarkan golongan kontraktor untuk memperbaharui lesen mereka iaitu kontraktor perlu menjalani kursus dan ujian, serta melibatkan kadar yuran yang tinggi.

Sekiranya kontraktor-kontraktor yang ingin membuat pembaharuan lesen mereka gagal, golongan tersebut perlu membayar semula kursus dan ujian semata-mata bagi mendapatkan lesen baharu.

Tukiman menyeru agar kontraktor-kontaktor kecil berganding bahu untuk menuntut hak mereka dan tidak lagi terus ditekan oleh CIDB.

“Saya ingin mengalu-alukan dan mengajak semua kontraktor kecil untuk Bersatu adakan satu perhimpunan secara aman bagi menuntut kebaikan untuk golongan kita dan memohon supaya kontraktor kecil dikembalikan ke MEDAC.

“Selepas hari perayaan ini kita akan aturkan semula dan membuat perbincangan bersama badan bukan kerajaan (NGO) lain seperti persatuan kontraktor melayu Malaysia. Rungutan dan sokongan kontraktor kecil juga pada masa kini amat memberesangkan, mereka juga sedang tunggu tarikh perhimpunan berkenaan,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN