ALOR SETAR: Jumlah janaan sampah di negeri ini dan Perlis dijangka meningkat antara 20 hingga 25 peratus menjelang sambutan Aidilfitri berbanding hari-hari biasa.
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat E-Idaman Sdn. Bhd. (EISB), Mohd. Firdaus Mohd. Isa berkata, peningkatan itu dijangka berlaku berikutan jumlah perniagaan yang kembali rancak beroperasi selepas beberapa kelonggaran diberikan kerajaan sebelum ini.
Selain itu katanya, jumlah peningkatan keluarga yang pulang ke kampung untuk berhari raya turut menyumbang kepada pertambahan tersebut.
“Berbanding kutipan sebanyak 1,800 tan sisa pepejal pada hari-hari biasa, pihak kami menjangkakan berlaku kutipan mencecah 2,100 tan menjelang ketibaan Aidilfitri nanti.
“Ketika ini pun jumlahnya sudah mula meningkat dan bagi menangani isu tersebut, jadual masa kutipan sampah akan kami lanjutkan menjelang musim perayaan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program meraikan anak-anak di bawah jagaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dengan kerjasama McDonald’s Malaysia dan Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di sini semalam.
Pada majlis itu, lebih 40 anak yatim serta kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan duit raya serta biskut raya selain berbuka puasa bersama hidangan istimewa dari restoran makanan segera terkemuka.
Mohd. Firdaus berkata, lebih 4,000 pekerja dan 540 jentera akan terus digerakkan bagi melaksanakan kerja-kerja mengutip sampah dan pembersihan di kedua-dua negeri tersebut.
“Dalam masa sama, kami akan melaksanakan kutipan khas sisa pukal dan kebun di taman-taman perumahan yang dikenal pasti menghasilkan lebih janaan sampah sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
“Selain itu, masyarakat juga dinasihatkan supaya lebih berhemah dalam menyediakan juadah untuk perayaan Aidilfitri bagi mengelakkan pembaziran. Sentiasa hargai makanan yang ada bagi mengurangkan jumlah penghantaran sisa ke tapak pelupusan,” katanya. – UTUSAN