PETALING JAYA: Sindiket penipuan dikesan mula melakukan pembayaran di antara RM1,500 hingga RM1,800 kepada individu yang sanggup menjual kad mesin juruwang automatik (ATM) dan akaun perbankan.
Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pembekal keldai akaun itu di Serdang, Puchong, Gombak, Selangor dan Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, dalam operasi itu, pihaknya menahan 10 individu berusia 25 hingga 39 tahun termasuk dua wanita.
Kata beliau, lapan telefon bimbit, kad ATM (38 keping), kad Sim MYTPG (Singapura) (20 keping) dan sejumlah wang tunai RM3,957 dan kereta antara barangan yang turut dirampas.
“Sindiket dipercayai beroperasi sejak tahun lalu dan pemilik kad disyaki menjual kad ATM mereka kerana terpedaya dengan iklan pinjaman wang dalam laman sosial yang meminta mereka untuk menyerahkan kad ATM sebagai cagaran.
“Kad tersebut dijual kepada sindiket penipuan dengan harga sekurang-kurangnya RM2,500 setiap keping,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah beliau, sebahagian orang awam yang menjual akaun itu pula dipercayai tidak mengetahui ia digunakan dalam aktiviti jenayah.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dan sentiasa berwaspada individu yang menawarkan untuk membeli kad ATM di pasaran” jelasnya. – UTUSAN