Jemu 20 tahun tunggu tanah pertanian - Utusan Malaysia

Jemu 20 tahun tunggu tanah pertanian

Kerajaan harus mencari kaedah meningkatkan stok makanan dalam negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada import. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Isu pembukaan tanah baharu untuk pertanian sudah lama dimohon, dirayu dan disuarakan oleh Pertubuhan Pekebun-pekebun Sayur Cameron Highlands, namun tidak dipedulikan kerajaan negeri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Pertubuhan Pekebun-pekebun Sayur Cameron Highlands, Chay Ee Mong berkata, rayuan perkara itu dibuat sebelum tahun 2000 lagi dan sehingga kini sudah 22 tahun tidak dengar khabar berita.

“Isu buka tanah baharu untuk pertanian telah lama kita suarakan. Tetapi tiada respon diberikan termasuklah daripada pihak kerajaan negeri sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebab itu saya sebenarnya sudah malas dan jemu untuk ulas tentang isu ini kerana kita sejak sekian lama telah menyuarakannya tetapi langsung tiada keputusan dan maklum balas positif,” katanya di sini semalam.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan bahawa, kerenah kerajaan negeri yang didakwa gagal menyediakan kawasan baharu pertanian menyebabkan negara terpaksa mengimport makanan bernilai RM63.6 bilion tahun lalu.

 

MAFI

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia berkata, kebergantungan import makanan yang banyak itu turut dikaitkan isu pembangunan tanah pertanian yang tertakluk di bawah pihak berkuasa kerajaan negeri.

Kata kenyataan itu, penentuan pembangunan tanah bermula daripada kelulusan syarat kepada pertanian, bangunan dan industri diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) sebagaimana terkandung dalam Kanun Tanah Negara 1965.

Mengulas lanjut, Ee Mong berkata, pembukaan tanah baharu untuk pertanian penting bagi meningkatkan sumber agro makanan negara termasuk sayur-sayuran yang sedang berdepan krisis kekurangan bekalan ketika ini.

Beliau berkata, banyak negeri mempunyai tanah yang boleh dibuka untuk bidang pertanian termasuk di Cameron Highlands tapi ia ‘terhalang’ oleh dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan sendiri.

“Buka tanah baharu dan tanah-tanah terbiar sewakan kepada petani untuk kita usahakan sekali gus boleh meningkatkan sumber agro makanan termasuk sayur-sayuran. Daripada tanah terbiar begitu saja, apa hasil yang kita dapat?

“Di Cameron Highlands misalnya, ada kawasan sesuai dan boleh dibuka untuk pertanian tetapi dasar kerajaan di kawasan tanah tinggi ia tidak boleh sewenang-wenangnya dibuka tanah baru.

“Jadi sayur yang sepatutnya kita boleh tanam di Cameron Highlands seperti bawang besar, lobak, brokoli, daun saderi, cili merah semuanya diimport. Bukan sikit tapi 70 peratus sayur diimport dari luar negara,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN