Isu rumah sembelih: Australia jamin ambil tindakan - Utusan Malaysia

Isu rumah sembelih: Australia jamin ambil tindakan

daging australia
Malaysia perlu menubuhkan rumah sembelih sendiri di luar negara bagi memastikan tidak timbul lagi isu halal yang meragukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Austra­lia memberi jaminan akan me­ngambil tindakan terhadap rumah penyembelihan haiwan di negara itu sekiranya terbukti dan disahkan melanggar proto­kol standard piawaian ketat da­lam mengendalikan pengelua­ran daging import.

Dalam maklum balas kepada Utusan Malaysia menerusi emel, jurucakap Jabatan Perta­nian, Air dan Alam Sekitar (DA­WE) negara itu mengesahkan sudah berhu­bung dengan pihak berkuasa Ma­laysia dan Si­ngapura tentang perkara berkenaan.

Jurucakap itu menegaskan, pihaknya mengambil serius per­kara tersebut dan mengambil per­hatian atas dakwaan kegagalan rumah penyembelihan di sana (Australia) mematuhi protokol yang diiktiraf negara pengimport khususnya Malaysia.

Katanya, pihak pengeksport daging juga diaudit secara rutin oleh pihak berkuasa negara pengimport, malah DAWE memberi kebenaran kepada Organisasi Islam Diiktiraf (AIO) untuk melaksanakan penyeliaan pengeluaran dan pensijilan daging halal eksport.

“Jabatan ini mempunyai pegawai veterinar dan peme­riksa daging terlatih di rumah penyembelihan untuk menyelia pengeluaran eksport.

“Di samping itu, pegawai kanan veterinar dan juruaudit turut menjalankan pemeriksaan berkala dan tidak berja­dual untuk mengesahkan dan mengekalkan integriti sistem eksport daging Australia.

“Bagi daging dan produk daging yang dieksport mendapat pensijilan halal, AIO yang berkenaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap aspek kepatuhan protokol halal dalam pengeluaran.
“AIO itu mesti diiktiraf oleh negara pengimport,” katanya di sini, semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan, terdapat rumah penyembelihan kambing biri-biri di Australia yang mendapat pengiktirafan Malaysia dan Si­n­gapura melanggar protokol sembelihan halal.

Menurut laporan yang di­sokong saksi, kambing biri-biri dilemaskan dalam darah yang terkumpul daripada haiwan yang disembelih sebe­lumnya dan bukannya kerana haiwan itu disembelih sebagaimana syarat yang diperlukan dalam keperluan penyembelihan halal.

Susulan itu, pelbagai pihak menuntut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak melengahkan siasatan menyeluruh melibatkan dakwaan sembelihan haiwan di Australia yang melanggar protokol.

Jakim sebelum ini mengesahkan pusat penyembelihan yang diiktiraf di negara itu mematuhi keperluan standard penyembelihan halal Malaysia dan peraturan ke atas haiwan yang ditetapkan pihak berkuasa Australia.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN