SIK: Seorang penternak tidak menyangka seekor anak lembu yang ditemukan di tepi pagar kandang adalah miliknya yang mati akibat dibaham harimau dahan dalam kejadian pada Isnin lalu.
Zulhanif Ab. Manaf, 35, dari Kampung Kampung Charuk Sireh, Chepir di sini berkata, pada awalnya dia percaya anak lembu jantan berusia tiga bulan itu dimakan babi tetapi terkejut apabila terdapat kesan tapak kaki harimau di kawasan kandang tersebut.
Menurutnya, dia yang menternak sebanyak 22 ekor lembu menjumpai bangkai anak lembu tersebut di tepi pagar kandang lembunya kira-kira pukul 10.30 pagi pada hari tersebut.
Katanya, selepas itu dia melaporkan kejadian berkenaan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Teman Negara (Perhilitan) untuk tindakan.
“Pada pagi Selasa, saya datang semula untuk melihat keadaan bangkai anak lembu tersebut dan terkejut apabila mendapati harimau itu datang kembali untuk makan sisa bangkai anak lembu itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, anggota Perhilitan selepas itu memasang perangkap tidak jauh dari kandang lembu tersebut dan meletakkan sebahagian bangkai anak lembu berkenaan untuk menarik perhatian binatang buas itu.
Jelasnya, usaha tersebut berhasil apabila dia mendapati seekor harimau dahan jantan berada dalam perangkap tersebut ketika datang ke kandang lembu itu kira-kira pukul 9 malam.
“Kandang lembu saya itu terletak sejauh satu kilometer dari rumah saya dan berhampiran dengan kawasan kebun getah.
“Bagaimanapun sejak menternak lembu kira-kira lima tahun lalu, ternakan saya itu tidak pernah diganggu binatang buas termasuk harimau dahan,” ujarnya.
Sementara itu, Pembantu Hidupan Liar Perhilitan Daerah Sik, Muhammad Shahroni Hussain berkata, harimau dahan jantan bersaiz kambing dewasa itu sudah ditangkap dan dilepaskan ke Hutan Rimba Teloi di sini kira-kira pukul 1 tengah hari semalam.
Katanya, harimau dahan selalunya aktif pada sebelah malam termasuk untuk memburu mangsanya.
“Penduduk kampung yang ternampak hidupan liar diminta jangan cepat panik, laporkan kepada Pejabat Perhilitan terdekat. Jangan ambil tindakan sendiri kerana hidupan liar selalunya agresif,” katanya.- UTUSAN










