ALOR SETAR: Keluarga dalam kalangan rakyat Malaysia yang terkandas di Thailand setelah pas sempadan mereka tamat tempoh berharap kerajaan Malaysia-Thailand memudahkan kepulangan mereka menjelang Aidilfitri ini.
Kebanyakan pas sempadan rakyat Malaysia itu tamat kerana pintu sempadan ditutup dua tahun susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.
Seorang ibu yang mahu dikenali Manisah, 68, dari Changlun di sini berkata, dia merindui salah seorang anak lelakinya yang bermastautin di Sadao selepas berkahwin dengan rakyat negara itu empat tahun lalu.
Menurutnya, anak lelakinya yang berusia 37 tahun itu sebelum ini kebiasaannya akan membawa pulang isteri dan anak-anaknya beberapa hari pada awal Ramadan serta menjelang Aidilfitri.
“Anak lelaki saya ada hubungi saya memaklumkan dia tidak dapat pulang lagi ke Malaysia walaupun pintu sempadan telah dibuka pada 1 April lalu.
“Ini kerana pas sempadan anak saya tamat tempoh dan tidak dapat diperbaharui. Kalau anak saya nak balik juga akan dikenakan denda lebih RM2,000 dan disenarai hitam dengan tidak dibenarkan memasuki Thailand sehingga lima tahun.
“Kalau setakat bayar denda, kami sekeluarga boleh bantu kumpul duit tetapi anak saya selepas itu tidak dapat masuk semula ke Thailand,” katanya ketika dihubungi di sini.
Utusan Malaysia pada 6 April lalu melaporkan lebih 10,000 rakyat negara ini terperangkap di Thailand dan menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana pas sempadan mereka telah tamat tempoh.
Masalah berlaku kerana mereka memasuki negara jiran itu sebelum pelaksanaan PKP pada Mac 2020 dan gagal pulang ke tanah air disebabkan pintu sempadan ditutup.
Malah kegagalan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Wilayah Songkhla membantu memperbaharui pas sempadan menyebabkan hasrat mereka untuk pulang ke tanah air terbantut walaupun pintu sempadan telah dibuka seminggu lalu.
Sementara itu, seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Amran, 49, dari Jitra berkata, adik lelakinya yang berusia 46 tahun dan menetap di Satun, selatan Thailand masih menunggu perkembangan daripada kerajaan Malaysia dan Thailand mengenai status rakyat Malaysia yang terkandas di Thailand setelah pas sempadan mereka tamat tempoh kira-kira setahun lalu.
Katanya, ahli keluarganya gembira apabila kerajaan mengumumkan pintu sempadan negara dibuka pada 1 April lalu dan mengharapkan adiknya itu dapat pulang ke Malaysia untuk sambut bulan Ramadan.
Bagaimanapun, tambahnya, dia kecewa apabila adiknya yang berniaga kedai makan di Satun masih tidak dapat pulang bersama isteri bertemu keluarga di Malaysia kerana pas sempadan tamat tempoh.
“Saya mengharapkan kerajaan Malaysia dan Thailand dapat mencapai kata sepakat yang dapat membantu rakyat Malaysia tersebut dapat pulang ke kampung masing-masing menjelang Aidilfitri ini,” jelasnya. – UTUSAN