PERMATANG PAUH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang hanya membenarkan 20 peratus atau 164 pegawai dan anggota bomba yang bertugas di negeri ini untuk bercuti pada Hari Raya Aidilfitri.
Pengarah JBPM negeri, Saadon Mokhtar berkata, ini bermakna baki 80 peratus lagi pegawai dan anggota pasukan beruniform itu iaitu 670 orang akan dibekukan cuti buat masa ini.
“Bagaimanapun, jika ada sebarang keperluan yang mendesak, mereka ini (pegawai dan anggota yang bercuti) akan dipanggil untuk kembali bertugas.
“Dalam hal ini, persatuan bomba sukarela dan bomba komuniti juga telah memberi jaminan akan menghulurkan bantuan bagi menghadapi sebarang bencana khususnya kebakaran pada peringkat awal,” kata beliau selepas merasmikan Kempen Keselamatan dan Pencegahan Kebakaran peringkat JBPM negeri sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri di pasar raya Lotus Store Seberang Jaya, di sini hari ini.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sijil perakuan bomba selain mengedarkan risalah keselamatan kebakaran kepada orang awam dan melancarkan Op Raya peringkat JBPM Pulau Pinang.
Difahamkan, ini kali pertama JBPM negeri tidak ‘membekukan’ keseluruhan cuti pegawai dan anggotanya sejak 2020 iaitu ketika pandemik Covid-19 mula ‘menyerang’ negara.
Sementara itu, Saadon memberitahu, kempen keselamatan dan pencegahan kebakaran kali ini dilihat antara tiga aspek atau keperluan penting yang dititikberatkan dalam Op Raya Bomba tahun ini selain keselamatan jalan raya dan keselamatan di air.
Pada masa sama katanya, JBPM Pulau Pinang juga akan memperluaskan lagi skop tindakan kecemasan dengan memberikan perhatian yang serius terhadap keadaan cuaca yang ‘ekstrem’ ketika ini.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) sentiasa meneliti ramalan cuaca dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi dan sentiasa peka terhadap kawasan ‘hotspot’ banjir agar tindakan pantas serta tersusun boleh diambil bagi mengelakkan kemalangan jiwa berlaku,” katanya.- UTUSAN