Guru swasta rugi RM7.3 juta ditipu `LHDN’, polis’ - Utusan Malaysia

Guru swasta rugi RM7.3 juta ditipu `LHDN’, polis’

VICTOR SANJOS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terpedaya dengan panggilan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), seorang guru swasta kerugian RM7.3 juta dipercayai ditipu sindiket Macau Scam pada Februari lalu.

Mangsa seorang lelaki tempatan berumur awal 30-an itu mula dihubungi sindiket yang menyamar sebagai pegawai LHDN yang memaklumkan mangsa mempunyai cukai tertunggak.

Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata, mangsa yang terkejut dengan jumlah cukai tertunggak sehingga belasan ribu ringgit menjadi panik.

Menurut beliau, bagi membincangkan `cukai  tertunggak’ tersebut, pangilan mangsa  kemudian disambungkan kepada seorang pegawai polis.

“Individu yang mendakwa sebagai pegawai polis itu kemudian menyatakan mahu menyemak akaun milik mangsa.

“Mangsa memberikan segala butiran akaun miliknya sebelum  suspek kemudian memaklumkan mangsa terlibat dalam jenayah pengubahan wang haram,” katanya di sini hari ini.

 Victor memberitahu, bagi menyakinkan mangsa, suspek mendakwa guru tersebut  juga telah didaftarkan dengan beberapa syarikat yang mempunyai kaitan dengan jenayah. 

“Mangsa pada mulanya menafikan dakwaan tersebut bagaimanapun kemudian akur setelah suspek  menyatakan mangsa boleh didakwa dan dikenakan hukuman yang berat.

“Disebabkan itu, mangsa kemudian diminta untuk membuka dua akaun lain memindahkan kesemua wang dalam akaun lama ke dalam akaun baharu tersebut,” jelasnya.

Mengulas lanjut, kata beliau, siasatan awal mendapati mangsa telah memberikan segala butiran peribadi termasuk nombor akaun miliknya kepada suspek sehingga wangnya yang berjumlah  RM7.3 juta lesap.

“Saya mahu menyatakan bahawa tiada siasatan dijalankan polis melalui panggilan telefon, dan polis sama sekali tidak meminta butiran peribadi seperti nombor akaun dan sebagainya untuk tujuan siasatan.

“Masyarakat boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-2610-1559 / 1599 jika menerima mana-mana panggilan yang mendakwa mereka terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah atau diarah membuka akaun baru bagi tujuan siasatan,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN