Graha Chipta rumah baharu Angkatan Pelukis SeMalaysia

Graha Chipta rumah baharu Angkatan Pelukis SeMalaysia

RAJA Mohamed Nizam Raja Mohd. Ali bersama karya lukisan yang dihasilkannya, dipamerkan di tengah-tengah ruang Galeri Seni Graha Chipta milik Angkatan Pelukis SeMalaysia (APS) di Gamuda Mall Bukit Bintang, Petaling Jaya, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Pelukis SeMalaysia (APS) akhirnya mempunyai rumah baharu apabila membuka galeri seni Graha Chipta yang terletak di Gamuda Mall Bukit Bintang (GMBB) secara rasmi baru-baru ini.

Malah, galeri itu dimiliki sepenuhnya oleh APS selepas 66 tahun persatuan tersebut ditubuhkan tanpa mempunyai pusat kegiatan mahupun galeri milik sendiri.

Presiden APS, Raja Mohamed Nizam Raja Mohd. Ali berazam untuk menjadikan Graha Chipta sebagai pusat kreativiti untuk semua pelukis di negara ini.

“Kita namakan Galeri Seni Graha Chipta kerana graha ini membawa masuk kepada gudang kepada semua dan chipta itu bermaksud apa sahaja yang kita nak cipta, kita boleh cipta. Kita juga melihat lokasi, konsep, kedudukan GMBB ini berada di tempat begitu strategik dalam Segi Tiga Emas Kuala Lumpur.

“Minat untuk mengadakan platform buat APS begitu mendalam, kebanyakan ahli jawatankuasa persatuan sememangnya ingin mengambil risiko, asalkan APS ada tempat beraktiviti dan kita memerlukan tempat ini untuk membangun.

“GMBB ini akan menjadi hab kreativiti Asia, jadi kita berada di tempat yang betul dan ramai yang boleh belajar melukis dan menjadikan tempat ini lebih meriah,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, pelbagai jenis karya seni pernah dihasilkan oleh ahli-ahli APS seperti lukisan abstrak, cat air, tembikar, arca dan seni reka grafik.

Ketika ini, Pameran Hijrah 360 sedang berlangsung di Galeri Graha Chipta yang disertai oleh 40 ahli yang menghasilkan 80 karya seni dan akan dipamerkan sehingga 29 Mei ini.

Selain itu, Raja Mohamed Nizam mengakui terdapat pertambahan pelukis-pelukis muda dalam APS ketika ini dan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang positif.

“Kebelakangan ini, kita dapat melihat pertambahan ahli-ahli muda, ada sekumpulan pelukis muda begitu aktif bergerak melukis lukisan lakar langsung (plein air painting), kerana orang muda ketika ini lebih suka melukis di tempat kejadian,” katanya.

Selepas sambutan Aidilfitri, APS akan terlibat dengan pelbagai pameran bertaraf antarabangsa bermula dengan festival seni Malaysia-Jepun pada 26 hingga 29 Mei, festival seni Pulau Ketam pada Jun 2022 dan pameran seni melibatkan 15 pelukis Korea Selatan yang akan diadakan antara Julai dan Ogos ini.

APS turut mendapat jemputan untuk mengadakan pameran seni di Singapura dan Indonesia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN