TAMPIN: Seorang lelaki dipercayai gelandangan ditemukan mati di sebuah kedai lama di Kampung Tanjung Pisang, Jalan Tampin-Gemas, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, polis menerima maklumat pada pukul 3.40 petang dari orang awam yang menemukan mayat tanpa sebarang identiti tersebut.
Menurutnya, lelaki berusia dalam lingkungan 50 tahun itu ditemukan dalam keadaan mencangkung seolah-olah sedang tidur dan terdapat tompokan darah di sekitar tubuhnya.
“Siasatan awal di tempat kejadian dijalankan bersama pihak forensik Hospital Tampin dan didapati tiada sebarang unsur jenayah di mana tiada sebarang kecederaan di tubuh badan lelaki tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Anuwal, walaupun terdapat kesan pendarahan tetapi ia dipercayai dari muntah darah lelaki berkenaan.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN