ESSCOM rampas RM5.95 juta barangan seludup tahun lalu - Utusan Malaysia

ESSCOM rampas RM5.95 juta barangan seludup tahun lalu

HAMZAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAHAD DATU: Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) merampas pelbagai jenis barangan seludup berjumlah RM5.95 juta sepanjang tahun lalu.

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, rampasan terbesar melibatkan dadah bernilai RM3.34 juta diikuti rokok seludup dan barang kawalan yang berjumlah RM1.37 juta serta RM1.23 juta rampasan barangan yang dibawa oleh pendatang asing tanpa izin (PATI).

Beliau berkata, menerusi Op Cegah PATI (OCP) yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu juga membawa kepada rampasan 393 bot yang membabitkan 154 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan.

“Seramai 1,407 orang PATI dan sebanyak 119 bot telah dikenakan tindakan pengusiran.

“Secara keseluruhan, sebanyak 766,382 pemeriksaan fizikal terhadap orang, kenderaan dan bot dalam OCP yang diselaraskan dan diterajui oleh ESSCOM,” katanya semasa berucap sempena Hari Ulang Tahun ESSCOM Kesembilan, hari ini.

Menurutnya, statistik trend penculikan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) merekodkan penurunan sejak 2016 dengan rekod sifar insiden penculikan pada tahun lalu.

Mengenai cabaran yang dihadapi ESSCOM, Hamzah berkata, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Filipina yang akan diadakan pada Mei ini, dijangka berlaku banyak pergerakan pergi dan balik melibatkan warga Filipina di Sabah ke negara jiran tersebut.

Maka, ESSCOM perlu memberi perhatian serius pergerakan ini kerana berkemungkinan ada anasir-anasir berkepentingan akan turut menyusup keluar dan masuk ke Sabah.

Mengulas lanjut katanya, susulan pembukaan semula pintu sempadan dan peralihan Malaysia ke Fasa Endemik hari ini akan menyebabkan aktiviti-aktiviti jenayah rentas sempadan kembali meningkat.

Malah, aktiviti pelancongan di pantai timur Sabah dijangka kembali rancak dan menarik ramai kehadiran pelancong dari luar negara.

“Kita khuatir aktiviti kumpulan penculikan untuk wang terbusan (KFR) akan kembali aktif dengan kebanjiran pelancong serta pertambahan aktiviti-aktiviti di laut yang akan menyebabkan pasukan keselamatan sukar untuk memantau secara menyeluruh.

“Justeru, ESSCOM akan terus pergiatkan OCP di perairan dan daratan bagi mengawal pergerakan manusia dan bot keluar-masuk sempadan negara daripada negara jiran. Usaha ini juga mampu mengekang pergerakan kumpulan KFR, kumpulan Abu Sayyaf dan aktiviti-aktiviti jenayah rentas sempadan yang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN