PUTRAJAYA: Program Ihya’ Ramadan Putrajaya 2022 (IRP 2022) yang bermula 31 Mac lalu hingga 2 Mei ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik membabitkan empat komponen utama iaitu Bazar Ramadan, Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, selain program jualan, IRP 2022 turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian kerohanian bertujuan mengimarahkan bulan mulia ini.
Beliau berkata, Bazar Ramadan sendiri menyediakan 160 gerai makanan, manakala Anjung Syawal pula menempatkan 135 vendor yang turut menampilkan selebriti ternama tanah air termasuk Noraniza Idris, Fauzi Nawawi, Zahid AF dan Azan Scan.
“Selain itu, pengunjung juga berpeluang menikmati juadah berbuka bersama ahli keluarga dan rakan di Laman Iftar iaitu lokasi wajib kunjung setiap kali Ramadan di sini. Kiblat Walk pula menempatkan 10 gerai yang menjual makanan dan minuman serta barangan kering,” katanya ketika berucap melancarkan IRP 2022 di sini hari ini.
Katanya, IRP 2022 turut dimeriahkan dengan pelbagai program agama termasuk bicara santai dan agama bersama selebriti dakwah popular seperti Ustaz Ahmad Dusuki, Ustaz Abdullah Khairi dan Ustaz Haslin Baharin.
Dalam pada itu, Shahidan berkata, beliau juga memohon Perbadanan Putrajaya (PPj) menganjurkan program jualan murah di sini bagi menarik kunjungan orang awam ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini.
Menurutnya, beliau mengambil beberapa contoh beberapa kota besar seperti London yang menganjurkan program jualan murah bagi menarik kunjungan pelancong dari seluruh dunia.
“Putrajaya mempunyai kelebihan sama disokong oleh kawasannya yang luas dan kemudahan infrastruktur yang terbaik. Saya sedar kuasa beli di Putrajaya tidak besar, justeru PPj perlu memikirkan kaedah sesuai untuk menarik orang ramai ke sini,” katanya. – UTUSAN