Empat institusi, syarikat korporat sumbang zakat RM13.3 juta - Utusan Malaysia

Empat institusi, syarikat korporat sumbang zakat RM13.3 juta

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menyerahkan replika cek zakat fitrah kepada Ammar Shaikh Mahmood Naim pada Majlis Serahan Zakat Perniagaan dan Zakat Fitrah di Alor Setar hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini berkenan menerima zakat perniagaan daripada empat institusi dan syarikat korporat berjumlah RM13.3 juta kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Menara Zakat di sini.

Dalam majlis yang sama baginda turut menerima zakat fitrah berjumlah RM11.9 juta untuk diagihkan LZNK kepada asnaf fakir, miskin, mualaf dan fisabilillah.

Syarikat dan institusi terlibat ialah Lembaga Tabung Haji dengan zakat perniagaan berjumlah RM8.5 juta, Tenaga Nasional Berhad (RM2.4 juta), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) (RM1.4 juta) dan Kilang Bernas (RM1 juta) yang disampaikan kepada baginda melalui wakil syarikat masing-masing.

Menurut Pengerusi LZNK, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim, kutipan zakat negeri ini meningkat sebanyak RM15.2 juta bagi tahun ini berbanding RM50.5 juta tahun lepas yang membuktikan kesedaran dan kepercayaan umat Islam terhadap Lembaga zakat itu.

“Kutipan zakat tahun ini sehingga 17 April lepas mencecah RM65.7 juta manakala jumlah keseluruhan agihan yang dibuat bagi tarikh sama tahun ini mencecah RM47.7 juta membuktikan zakat yang dibayar oleh semua rakyat Kedah diurus dan diagih kepada penerima layak mengikut skim ditetapkan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Selain itu, Sultan Kedah turut berkenan menyampaikan zakat kepada 20 individu yang layak pada majlis tersebut.

Ammar menambah, pada tahun ini, LZNK menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM11.7 juta dengan anggaran peningkatan sebanyak lima peratus berbanding kutipan tahun lepas RM11.4 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN